PENYERANG negara, Luqman Hakim Shamsudin muncul penyelamat kelab Njardvik FC apabila gol penyamaan pada baki 10 minit sebelum tamat permainan memastikan keputusan seri 1-1 dalam saingan Liga 1 Deild Karla.
Beraksi di Stadium Rafholtsvöllurinn, Selfoss terlebih dahulu menggegar jaringan Gudmundur Tyrfingsson pada m-17.
Namun, Njardvik berjaya mengelak aib kekalahan selepas Luqman, 21, yang masuk menggantikan Alexandre Romao menghasilkan impak sebelum menjaringkan gol pada minit ke-84.
🇮🇸 Luqman Hakim came on as a substitute and scored an equaliser in Njardvík's 1-1 draw with Selfoss today. pic.twitter.com/2NhyVsYo7f
— Harimau Abroad🐯🇲🇾✈️ (@harimau_abroad) June 8, 2023
Kedudukan semasa liga, Njardvik berada di tangga ketujuh dan meraih enam mata.
Luqman yang dilahirkan di Kota Bharu pertama kali menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk dengan perjanjian lima tahun pada 2019 sebelum berpindah ke Njardvik dengan pinjaman sepanjang musim untuk mendapatkan masa permainan.
Berita baik, gol itu menyemarakkan semangatnya apabila dipanggil oleh ketua jurulatih, E Elavarasan bagi menyertai kem latihan pusat selama seminggu bermula 12 hingga 19 Jun 2023 sebagai persiapan menjelang Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Chonburi, Thailand bermula 16 hingga 26 Ogos 2023.
Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan senarai nama 26 pemain Harimau Malaya B-23 termasuk Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Rahadiazli Rahalim yang terlepas menyertai skuad Sukan SEA 2023 disebabkan masalah kecederaan jari, kembali menyertai kem latihan pusat pasukan B-23 negara.