TUAH menyebelahi skuad Kelana United FC apabila jaringan pada minit-minit terakhir permainan menyaksikan mereka berjaya menewaskan Selangor FC 1-0 dalam aksi pembukaan Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Gol jaringan Lauren Hoh Ruyi ketika perlawanan hampir tamat memberikan kegembiraan buat skuad kendalian Fairuz Montana sekali gus menjadi pembakar semangat selepas melakar tiga mata ke atas lawan setempat.
Fairuz yang ditemui selepas perlawanan menegaskan semangat para pemain adalah penyebab utama kemenangan ini meskipun mereka hanya mempunyai lima sesi latihan menjelang aksi pembukaan liga yang melibatkan lapan pasukan dari seluruh negara ini.
“Tahniah kepada semua pemain kerana telah memberikan lebih dari 100 peratus meskipun bermain dalam cuaca panas. Kami hanya ada lima sesi latihan sahaja sebelum perlawanan ini dan kredit perlu diberikan kepada pemain kerana mereka menunjukkan kesungguhan untuk mencipta kemenangan pertama mengikut apa yang dirancang.
“Pengalaman para pemain senior juga membantu persiapan pasukan dan saya berpuas hati dengan mereka yang banyak membantu dan memberikan arahan di dalam padang untuk memberikan tunjuk ajar kepada pemain muda.
“Kemenangan pertama ini sangat penting dan semangat para pemain sehingga minit terakhir memastikan kita dapat menjaringkan gol dan meraih tiga mata penuh ini,” katanya.
Sementara itu penolong jurulatih Selangor FC, Felicia Adele Ng mengakui ini bukanlah hari mereka meskipun para pemain sudah memberikan segalanya di dalam padang dan berazam untuk bangkit dalam perlawanan selepas ini.
“Kami sudah memberikan segala-galanya dan tahniah kepada para pemain yang mengikut arahan jurulatih namun ianya bukan hari kami kerana kami gagal menyudahkan beberapa peluang yang terhidang dan kami akan kembali berlatih untuk mengatasi masalah ini bagi menghadapi perlawanan akan datang,” jelasnya.
Kemenangan ini memberikan Kelana United tiga mata pertama dengan tiga lagi perlawanan akan berlangsung pada Ahad.