SKUAD bola sepak wanita Sabah memulakan kempen Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 dengan langkah kanan selepas menewaskan Malaysian University FT 3-2 dalam aksi mendebarkan di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad.

Sabah yang hadir sebagai juara bertahan kejohanan pada awalnya dilihat selesa mengawal permainan dan berjaya mendahului 3-0 pada awal babak kedua namun, masalah kecergasan membuka peluang buat Malaysian University berjaya mendapatkan dua gol.

Pengendali Sabah, Justin Ganai yang dihubungi FLASH SUKAN mengakui dia perlu memperbaiki tahap kecergasan para pemainnya bagi memastikan perkara yang sama berulang dalam liga yang melibatkan lapan pasukan itu.

“Apabila mendahului 3-0 di minit ke-57, pemain-pemain masih meneruskan rentak menyerang namun gagal menambah jaringan akibat hantaran yang kurang cermat dan tidak tepat.

“Rentak menyerang itu meletihkan beberapa pemain yang masih lemah dari segi kecergasan permainan dan akibat daripada keletihan itu serangan balas pemain-pemain MUFT yang baru masuk mencemaskan kubu Sabah.

“MUFT menjaringkan gol kedua pada minit ke-89 akibat daripada kelekaan pemain pertahanan yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya dan keserasian barisan pertahanan perlu dimantapkan dan dapat diperkemaskan melalui latihan dari semasa ke semasa,” katanya.

Justin Ganai akan perbaiki pelbagai kelemahan yang dikesan dalam pasukan

Tiga gol Sabah dijaringkan oleh Usliza Usman pada babak pertama sebelum Haindee Mosroh dan Juliana Barek menambah dua gol pada babak kedua untuk tiga mata pertama musim ini.

Sabah kini ditangga ketiga Liga Wanita Nasional berkongsi tiga mata dengan Melaka, Sukan Sukan Malaysia Pahang dan Kelana United namun dibezakan perbezaan jaringan.