PEMAIN penyerang Kelana United FC, Lauren Hoh Ruyi membuktikan minat mendalam dalam bola sepak sejak kecil berjaya membawanya ke peringkat yang lebih tinggi meskipun kurang penglibatan kaum Cina dalam permainan ini.
Berusia 18 tahun, Lauren menjaringkan gol kemenangan buat Kelana United pada minit terakhir perlawanan untuk memberikan kemenangan 1-0 keatas Selangor FC dalam aksi pembukaan Liga Wanita Nasional 2024.
Dia yang ditemui selepas perlawanan mengakui bukan tugas yang mudah buatnya bermain bola sepak kerana sukan ini bukan pilihan majoriti kaum Cina namun minat dan sokongan daripada keluarga memastikan dia mencapai cita-citanya bergelar pemain bola sepak.
“Ianya satu perlawanan yang sukar dan kompetitif. Saya gembira kerana dapat jaringkan gol pertama dan bantu pasukan dapatkan tiga mata untuk perlawanan pembukaan liga musim ini.
“Saya bermain di posisi sayap dalam perlawanan ini tetapi gerak hati saya kuat mengatakan saya akan dapat bola itu dan berjaya menyudahkannya namun ianya tidak akan terjadi tanpa bantuan rakan-rakan sepasukan.
“Bola sepak memang jadi minat saya sejak kecil dan saya beruntung kerana ada ibu bapa yang memahami dan menyokong minat saya. Ianya sangat membantu saya dan saya tidak kisah apa orang lain cakap asalkan ibu bapa saya gembira dengan pilihan saya,” katanya.
Pelajar di sebuah institut pengajian tinggi di Amerika Syarikat itu juga berharap dapat kembali mewakili skuad kebangsaan kerana tidak ada perkara yang lebih baik sebagai pemain bola sepak untuk menyarung jersi kebangsaan.
“Saya harap dapat dipanggil sekali lagi ke skuad kebangsaan dan tidak bertembung dengan jadual belajar kerana jarak yang jauh dan perjalanan yang memenatkan tetapi jika ada peluang untuk mewakili negara, saya tidak akan sesekali lepaskan peluang itu,” jelasnya.
Jaringan Lauren memastikan skuad kendalian Fairuz Montana meraih tiga mata dan kini berada di tangga keempat liga dengan tiga mata, berkongsi bersama Melaka, Sekolah Sukan Malaysia Pahang dan Sabah namun dipisahkan dengan jumlah jaringan.