SKUAD bola sepak wanita Sabah FA bakal berdepan ujian terbesar dalam Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 apabila berhadapan Kelana United dalam aksi minggu ketiga di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu.
Ketua jurulatih Sabah, Justin Ganai mengakui kualiti yang ada pada skuad kendalian Fairuz Montana itu namun dia percaya kemampuan anak-anak buahnya untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri.
Justin juga menyeru penyokong untuk hadir ke stadium memberikan sokongan kepada pasukannya untuk merampas tempat teratas liga sekali gus mengukuhkan peluang mengekalkan kejuaraan liga.
“Kelana United adalah ujian terbesar kami musim ini tetapi kami akan berikan segala-galanya di tempat sendiri kerana Stadium Likas adalah kubu kuat kami dan kami berharap dapat bermain dengan baik untuk meraih tiga mata.
“Kami juga mengharapkan sokongan daripada para penyokong untuk hadir ke stadium bagi memberikan semangat kepada para pemain dalam setiap perlawanan terutama di laman sendiri,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Selepas dua perlawanan, Sabah di tangga kedua dengan enam mata hasil dua kemenangan tetapi dipisahkan perbezaan jaringan dengan Kelana United di tangga teratas.
Sabah mendapat tonik tambahan apabila menjadi pasukan tunggal Malaysia bersaing di peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC 2024-25 dan berharap dapat meneruskan momentum kemenangan dalam liga.