SKUAD wanita Sabah sudah bersedia untuk mengharungi kempen Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi sulung musim lalu.
Sabah dilihat serius dalam melakukan persiapan dengan berjaya mendapatkan beberapa pemain kelahiran Sabah berstatus pemain kebangsaan untuk kembali menabur bakti ke Negeri Di Bawah Bayu itu.
Bagaimanapun ada beberapa perkara yang sedikit mengganggu persiapan anak-anak buah Justin Ganai tetapi ianya hanya bersifat sementara dan mampu diatasi menurut pengurus pasukan, Arziz Afizy Rumsani.
“Persiapan pasukan Sabah bagi menghadapi saingan LWN 2024 telah pun bermula sejak awal April namun beberapa pemain tidak dapat menjalani latihan penuh bersama pasukan disebabkan komitmen bersama skuad Sukma Sabah.
“Ianya sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukan kali ini namun saya yakin pasukan Sabah akan memberikan saingan dan mengharapkan kita dapat mempertahankan kejuaraan dalam LWN tahun ini.
Kemasukan beberapa pemain seperti Siti Nurfaizah, Henrietta Justine, Azurin Mazlan, Rosdiana dan Jaciah Jumilis sedikit sebanyak dapat membantu memperkuatkan jentera serangan dan peertahanan pasukan sabah kali ini,” katanya.
Skuad Sabah juga mendapat tonik tambahan apabila terpilih untuk mewakili Malaysia ke kejohanan Liga Juara-Juara Wanita AFC yang julung kali diadakan dan para pemain dilihat teruja dengan peluang yang terhidang ini.
“Selain persiapan LWN kita juga akan menghadapi saingan Kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC pada Ogos dan selaku pasukan pertama mewakili Malaysia, sudah tentu perasaan pemain dan pasukan Sabah sangat teruja dan lebih bersemangat kerana dapat peluang beraksi di peringkat tertinggi,” jelasnya.
Sabah akan memulakan kempen Liga Wanita Nasional musim ini bertemu pencabar utama, Malaysian University pada 7 Julai di Stadium Likas dalam liga yang melibatkan lapan pasukan.