PASUKAN bola sepak wanita Selangor FC terus mempamerkan prestasi luar biasa dalam Liga Wanita Nasional 2024 apabila mereka berjaya menewaskan Red Eagle SC dengan kemenangan selesa 3-0 di Stadium UiTM, Shah Alam petang Sabtu.

Selangor menguasai permainan dari awal hingga akhir, dengan kapten pasukan Nur Ainsyah menyerlah menerusi aksi bertenaga dan sumbangan besar dalam ketiga-tiga gol yang terhasil.

Permulaan perlawanan menyaksikan Selangor pantas mencipta peluang apabila pada minit kedua, pemain nombor 10, Nur Adrienna hampir membuka jaringan hasil hantaran lintang Nur Ainsyah.

Gol pertama Selangor hadir seawal minit keenam, apabila rembatan leret Nur Ainsyah menerjah ke penjuru kanan gawang Red Eagle, meletakkan mereka di hadapan 1-0. Ini merupakan gol ke-14 peribadi beliau musim ini, membuktikan ketajaman kapten pasukan dalam menyempurnakan peluang di hadapan gol.

Penguasaan Selangor semakin jelas apabila pada minit ke-19, satu hantaran cantik dari sayap kiri oleh Nur Ainsyah menemui Nur Adrienna yang menyudahkan peluang tersebut untuk gol kedua. Selangor mengakhiri separuh masa pertama dengan kelebihan 2-0, dibantu pertahanan mantap yang menutup ruang buat Red Eagle menyerang.

Masuk babak kedua, Selangor meneruskan dominasi mereka dan menambah jaringan menerusi rembatan jarak jauh oleh Nur Ainsyah pada minit ke-54, sekaligus mengukuhkan kedudukan 3-0.

Pasukan Red Eagle SC terus berusaha bertahan namun gagal menembusi benteng Selangor yang tersusun rapi hingga wisel penamat ditiupkan.

Kemenangan ini menyaksikan Selangor berada di puncak saingan Liga Wanita Nasional dengan 28 mata selepas 12 perlawanan, dan dengan ketajaman serta kualiti permainan yang dipamerkan oleh pemain-pemain utama seperti Nur Ainsyah, mereka dijangka menjadi pesaing utama bagi kejuaraan musim ini.