SKUAD wanita Sabah mempamerkan aksi cemerlang dalam dua perlawanan awal Liga Wanita Nasional (LWN) apabila mencatatkan dua kemenangan berturut-turut dengan menjaringkan lapan gol tanpa bolos.
Barisan kendalian Justin Ganai itu berjaya menewaskan pasukan Malaysia University 3-0 sebelum membelasah LMS Tigress 5-0 untuk kukuh di tangga teratas LWN dengan dua pemain, Usliza Usman dan Azzlyeanieh Kinuli berkongsi penjaring terbanyak dengan tiga gol.
Menerusi temubual bersama FLASH SUKAN, pengurus pasukan wanita Sabah, Muhd Arziz Afizy Rusmani berkongsi rahsia mengapa mereka dapat beraksi dengan baik sekali gus dilabel pasukan pilihan dalam LWN.
“Kita tidak menjangkakan dapat memberikan persaingan dalam liga ini pada awalnya kerana menganggap pasukan lain lebih hebat kerana mereka mempunyai banyak pemain dari skuad kebangsaan.
“Tetapi hasil dari persediaan dan latihan kami yang bermula dari awal April lalu menyebabkan kami mampu bersaing dalam liga ini dan saya berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan dalam dua perlawanan awal ini,” katanya ketika ditemui di Stadium MMU, Cyberjaya.
Arziz Afizy juga mahu para pemain Sabah mengekalkan momentum kecemerlangan untuk terus bersaing dan dia juga menganggap kewujudan Liga Wanita Nasional adalah satu langkah yang baik buat menaikkan martabat sukan bola sepak wanita di negara ini.
“Kalau ada rezeki kami mampu bersaing dan memburu kejuaraan tetapi buat masa ini masih terlalu awal untuk mengatakan kami pilihan juara kerana masih banyak perlawanan yang akan kami hadapi.
“Liga Wanita Nasional ini sangat baik untuk pemain wanita berkecimpung dalam sukan bola sepak sekali gus boleh memartabatkan pasukan bola sepak wanita kebangsaan selepas ini,” tambahnya.
Kedudukan Sabah di tangga teratas LWN bakal dicabar pasukan di tangga kedua, Selangor FC apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu pada Ahad di Arena MBSJ, Subang Jaya dalam satu perlawanan yang dijangka menarik.