PASUKAN M8 Pushbike menguasai M8 Malaysia Pushbike GP Series 2024 apabila mengungguli tujuh daripada sembilan kategori yang dipertandingkan.

Kejayaan itu menjadi pemangkin semangat buat pasukan terbabit menghadapi cabaran di RCS World Championship di Jepun, yang akan berlangsung pada Januari 2025.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, M8 Malaysia Pushbike GP Series 2024 menjadi kejohanan terakhir buat pelumbanya menilai kemampuan.

“Pertandingan ini menjadi ujian penting untuk mengukur tahap persediaan pasukan, sebelum menghadapi kejohanan di peringkat dunia. Dengan kemenangan konsisten dan persiapan yang teliti, pasukan M8 kini berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi cabaran di Jepun.

“Kemenangan di Malaysia ini juga menjadi dorongan besar untuk membuktikan bahawa M8 mampu bersaing di peringkat tertinggi di Kejuaraan Dunia RCS 2025.

Anak-anak kecil bersaing dalam perlumbaan Pushbike, semakin mendapat sambutan.

“Selain prestasi di litar, kejohanan ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak, menjadikannya satu kejayaan yang signifikan buat pasukan M8,”kata Wan Mohd Muzri.

Mikayla, salah seorang pelumba utama pasukan itu, merangkul gelaran juara keseluruhan bagi kategori Open Girl. Dia turut memperkukuh dominasi setelah menduduki tempat kelima keseluruhan dalam kategori Super.

Maleeq Dragster terlibat dalam kemalangan di kejohanan M8 Malaysia Pushbike GP Series 2024, namun masih mampu mencatat keputusan yang baik.

Selain itu, bintang muda Maleeq Dragster juga tidak mengecewakan apabila muncul juara keseluruhan, mengatasi pelumba dari lima negara termasuk Indonesia, Thailand, Singapura, Jepun, dan Malaysia.

Menurut Wan Mohd Muzri, pasukan M8 turut diperkuat pelumba Jepun, Kai Kai, untuk siri keempat dan kelima.

Kai Kai berjaya memenangi kategori 2017 dalam kedua-dua siri tersebut, sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan untuk menghadapi Kejuaraan Dunia.

Pemenang bersama ibu bapa masing-masing bergambar di podium.

“Kejayaan Kai Kai memberi suntikan semangat kepada seluruh pasukan untuk mencapai kemenangan di RCS World Championship di Jepun nanti,” katanya.

Sokongan padu daripada pelbagai pihak juga menjadikan kejohanan ini satu kejayaan besar, termasuk daripada Petronas Sepang International Circuit (SIC), ZK Racing, MiniGP Malaysia, dan Kementerian Belia & Sukan (KBS). Selain itu, pihak lain seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Bike8 Malaysia, dan Rockfish Malaysia turut memberikan sokongan yang besar dalam memastikan kelancaran penganjuran M8 Malaysia Pushbike GP Series 2024.