KEJAYAAN Selangor FC menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25 membantu Malaysia menambah mata MA dalam ranking kelab Asia dan semakin menghampiri kedudukan Australia.

Menurut senarai yang dikeluarkan oleh laman Footy Rankings, Malaysia kekal di tangga keenam Zon Asia Timur dengan 31.361 mata, ketinggalan hanya 0.763 mata di belakang Australia di tangga kelima selepas kemas kini ranking pada 24 Oktober 2024.

Setakat ini untuk musim 2024-25 ini, dua kelab Malaysia cemerlang mengutip 6.833 mata dan dengan konsisten bagi mendekatkan mata dengan Australia selain menjarakkan diri dari Vietnam yang kini mengumpul 29.238 mata, ketinggalan 2.323 mata.

Mata ranking ini penting bagi memastikan slot 1+1 buat Malaysia – satu slot untuk Liga Juara-Juara AFC Elite dan satu slot untuk Liga Juara-Juara AFC 2 dapat dikekalkan bagi musim 2026-2027 dan mengelak kehilangan slot di saingan elit Asia.

Selepas berakhir tiga perlawanan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bersaing di Liga Juara-Juara AFC Elite berjaya meraih 7.000 mata selepas mencatat satu kemenangan dan satu keputusan seri beserta tiga mata bonus.

Selangor FC pula yang beraksi di Liga Juara-Juara AFC 2 cemerlang mengutip 6.667 mata selepas meraih dua kemenangan dan satu keputusan seri beserta tiga mata bonus yang membawa kepada purata 6.833 mata buat Malaysia.

Kegagalan kelab-kelab Australia yang bertanding dalam kejohanan sama membantu Malaysia merapatkan kedudukan dengan Central Coast Mariners tewas ketiga-tiga aksi di ACLE dan hanya Sydney FC mengutip mata untuk purata 4.500 mata.

Secara keseluruhan di Asia selepas berakhir perlawanan ketiga, Malaysia ditangga keempat dibelakang Arab Saudi, Jepun dan China manakala Republik Korea kelima dan Thailand keenam dengan UAE, Jordan, Qatar dan Iraq melengkapkan 10 negara terbaik.