MAAF Indonesia, tiada peluang untuk skuad hoki  dalam dewan wanita negara berkongsi mata pada perlawanan terakhir saingan liga pusingan, esok.

Skuad bimbingan Mohd Badrul Hisham Osman ketika ini berada di posisi terbaik melangkah ke final, dan mengulangi episod 2019 di Filipina, bertemu Thailand di perlawanan akhir.

Mohd Badrul Hisham Osman mahu pemain fokus mencapai kemenangan pada pertemuan dengan Indonesia pada Sabtu.

Ketika ketua jurulatih hoki dalam dewan Indonesia, Muhammad Dharmaraj Abdullah mengharapkan kemenangan ke atas Malaysia pada pertemuan esok, keputusan seri sekalipun enggan diterima Mohd Badrul Hisham.

“Kami maklumkan dan mengingatkan pemain bahawa tiada istilah seri, walaupun keputusan seri itu memadai untuk kami ke perlawanan akhir.

“Mereka perlu mendapatkan tiga mata sebagai pembakar semangat di pentas final nanti,” kata Mohd Badrul Hisham.

Skuad wanita negara, masih tidak dibolosi selepas empat perlawanan.

Mohd Badrul berkata, skuad wanita akan menjalani sesi pemulihan dan melakukan aktiviti dalam perkampungan sukan, bagi memastikan tahap kecergasan, kekal di tahap terbaik, selain pemain akan menonton video perlawanan lalu.

Pada Khamis, skuad wanita mengatasi Kemboja 4-0, manakala perlawanan terdahulu, mereka menang ke atas Filipina 12-0, Singapura (8-0) dan seri tanpa jaringan dengan Thailand.

Setakat ini, skuad wanita negara muncul satu-satunya pasukan yang belum melepaskan sebarang gol di temasya sukan Sea 2023.