PERSATUAN Bola Keranjang Malaysia (MABA) sedang mengenal pasti beberapa pemain tempatan yang berpotensi untuk memperkuatkan skuad lelaki dan wanita negara bagi menghadapi Sukan SEA Kemboja tahun depan.

Presidennya, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, walaupun hanya mempunyai satu tahun untuk mempersiapkannya, beliau mempunyai keyakinan penuh kepada pasukan kebangsaan.

“Tumpuan tidak seharusnya kepada pemain naturalisasi semata-mata. Ia adalah mengenai melahirkan lebih ramai pemain seperti Ting Chung Hong atau lebih dikenali sebagai ‘Mei Mei.

“Telah terbukti bahawa kita boleh membangunkan pasukan di mana setiap pemain boleh menjadi pemain ace. Tetapi persoalannya, mengapa hanya ada satu ‘Mei Mei’ dan bukannya 10?

“Untuk meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan, bukan sahaja kita memerlukan naturalisasi, tetapi kita juga memerlukan perancangan, kedua-duanya berjalan seiring,” katanya.

Sementara itu, dengan lawan yang hampir serupa dalam Sukan SEA2023, beliau percaya kedua-dua pasukan negara akan bermain dengan lebih matang dan lebih mempesonakan.

Terdahulu, Tian Hock hadir dalam majlis penyampaian insentif kepada pemain wanita yang meraih gangsa di Sukan SEA Hanoi pada Ahad.

Kejayaan pasukan wanita memenangi pingat gangsa dalam acara 5×5, membolehkan setiap pemain menerima RM10,000 dan RM15,000 untuk jurulatih.