PENYERANG  Harimau Malaya, Faisal Halim memberitahu bahawa belum tiba masanya untuk pasukan berbangga dengan kemenangan pertama  ini memandangkan masih ada baki perlawanan bagi saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Pada saingan pertama, skuad negara berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk merakam kemenangan 4-3 ke atas Republik Kyrgyz di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis malam.

Faisal bukan sahaja sebagai salah seorang penyumbang gol buat pasukan, sebaliknya jaringannya minit ke-77 itu telah memastikan Malaysia cukup untuk mengutip tiga mata penuh.

Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey memberitahu bahawa sikap bekerja keras dan tidak berputus asa oleh semua pemain juga merupakan faktor utama kemenangan yang diraih pasukan.

“Saya sangat bersyukur kerana ini merupakan rezeki kita malam ini, bukan jaringan saya yang muktamad untuk memberikan kejayaan buat Malaysia tetapi kesungguhan pemain-pemain lain juga.

“Jika diperhatikan semula, memang susah untuk kita dapatkan tiga gol tetapi seperti yang saya katakan bahawa ini bola sepak dan kita telah membuktikan rezeki itu berpihak kepada skuad kita.

“Kita juga cakna dengan kekuatan pihak lawan iaitu Kyrgyztan kerana mereka berada di ranking lebih baik daripada kita, namun sekarang kami telah membuka mata semua bahawa bola sepak Malaysia sedang berada di tahap yang lebih baik.

“Walau bagaimanapun kita tidak boleh berbangga sekarang kerana ada baki perlawanan banyak lagi selepas ini dan kita harapkan sokongan penuh daripada rakyat Malaysia untuk hadir turun ke stadium untuk aksi yang akan datang pula,” jelasnya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, Faisal telah mendedahkan kebangkitan luar biasa di separuh masa kedua itu terjadi apabila pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon telah membawa karakter yang lain demi mengingatkan skuadnya supaya tidak terus kealpaan atau lalai.

“Coach tak kata apa, cuma dia marah. Macam harimau ada dalam  tu (bilik persalinan), tapi ya… itu karakter coach Kim. Dia tak nak anak-anak buah dia lalai, sambil lewa… itu yang ditekankan dalam bilik persalinan,” tambahnya.

Harimau Malaya akhirnya berjaya melunaskan impian Pan-Gon untuk meraih tiga mata penting dalam aksi pembukaan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 setelah menundukkan Kyrgyzstan di laman sendiri.