PRESIDEN FA Thailand, Nualphan Lamsam atau lebih dikenali sebagai Madam Pang teruja mengumumkan tiket perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Thailand dan Republik Korea pada 26 Mac 2024 sudah habis dijual.
Dia membuat pengumuman itu menerusi satu hantaran di laman sosial peribadinya yang menunjukkan kembalinya sokongan penyokong terhadap pasukan Gajah Perang pasca kehadiran Madam Pang sebagai presiden.
Thailand yang diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Republik Korea, China dan Singapura akan bertemu Taeguk Warriors di Seoul terlebih dahulu pada 21 Mac sebelum bertembung di Stadium Rajamangala pada 26 Mac.
Skuad kendalian Matasada Ishii kini kembali mendapat keyakinan daripada penyokong selepas mempamerkan aksi hebat semasa Piala Asia 2023 apabila berjaya mara sehingga ke pusingan 16 terbaik.
Kehadiran Madam Pang sebagai Presiden FA Thailand mendapat sokongan daripada para penyokong yang mahu menyaksikan perubahan berlaku dalam pengurusan bola sepak sekaligus menjadi pasukan Asean paling digeruni.
Thailand kini ditangga kedua Kumpulan C dengan tiga mata selepas mencatat satu kemenangan keatas Singapura dalam aksi di Stadium Nasional Singapura pada November 2023 dan sebarang keputusan positif ketika menentang Republik Korea akan membantu mereka layak ke peringkat seterusnya.