JOHOR Darul Ta’zim (JDT) membuat pengumuman menandatangani bekas pemain import Sabah FC, Levy Madinda sebagai pemain baharu mereka dan juga kembalinya Junior Eldstal ke skuad Harimau Selatan.
Berita ini sangat mengejutkan kerana tidak langsung kedengaran ura-ura kedatangan semula pemain ini ke Liga Malaysia dan Levy adalah pemain ketiga yang diumumkan JDT selepas Daniel Ting dan Jordi Amat.
Tidak cukup dengan Madinda, JDT melengkapkan empat pemain pada jendela perpindahan kedua ini dengan menandatangani semula Junior Eldstal yang pernah beraksi buat Harimau Selatan pada 2016.
Madinda tiba di Malaysia pada Februari 2021 untuk bersama Sabah dari kelab di Turki dan berjaya melakukan 16 penampilan serta menjaringkan empat gol dan kini akan menyarung jersi bernombor 92 bersama JDT.
Kehadiran pemain kebangsaan Gabon ini pasti akan menambah kekuatan bahagian tengah JDT yang dikatakan bakal menjadi ‘back up’ kepada Leandro Velasquez yang sudah lama bersama Harimau Selatan.
Eldstal pula akan memantapkan lagi barisan pertahanan JDT selepas berpisah dengan Mauricio dan dengan kemasukan dua pemain ini, JDT dilihat cukup bersedia untuk mempertahankan kejuaraan liga dan juga mempersiapkan pasukan untuk menghadapi peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC.