PENGURUS Real Madrid, Carlo Ancelotti tetap gembira dengan kemenangan 3-0 ke atas Valladolid awal pagi tadi sekalipun pasukannya mempamerkan persembahan hambar pada aksi La Liga Sepanyol.
Susulan persembahan kurang bermaya pemain kesebelasan utama seperti Kylian Mbappe, Vinicius Jr dan Rodrygo, Ancelotti memuji pemain gantiannya apabila Brahim Diaz dan Endrick tampil dari bangku simpanan untuk memastikan kemenangan Real dengan gol lewat selepas Federico Valverde memecah kebuntuan pada minit ke-50.
“Merasai satu kemenangan sering kali bagus, apabila kami menang perlawanan saya perlu gembira, mengambil kira masalah yang kami hadapi, terutamanya pada babak pertama apabila kami lembab dan tidak agresif,” kata Ancelotti pada sidang media.
“Kami lebih bagus selepas rehat, dengan lebih banyak pergerakan serta kepantasan ketika mengawal bola. Saya amat gembira dengan pemain yang tampil dari bangku simpanan dan menggunakan kesempatan beberapa minit yang mereka ada.
“Menentukan barisan pemain sentiasa rumit, ia mengganggu saya, ia membuatkan saya agak sedih walaupun ia tanggungjawab saya, saya yang perlu memilih sebelas pemain yang memulakan perlawanan.”
Ancelotti berkata, beliau mengharapkan pemain kesebelasan utamanya tidak mementingkan diri sendiri dan harus meminta untuk digantikan apabila mereka letih, terutamanya pada awal musim yang mana perlawanan dilangsungkan dalam musim panas Sepanyol yang amat terik.
“Dalam tempoh ini musim ini, dalam cuaca panas, pemain dijangka akan keletihan. Jadi wajarlah apabila seorang pemain keletihan, dia harus mengangkat tangannya dan meminta untuk digantikan, tetapi dalam 40 tahun saya dalam bola sepak ia tidak pernah berlaku,” kata Ancelotti.
“Jadi terpulang kepada saya, sebagai jurulatih untuk memilih siapa yang saya rasa penat. Saya rasa pemain perlu lebih bertanggungjawab mengenainya. Saya menyatakannya di sini kerana saya sudah memberitahu mereka secara peribadi. Saya mempunyai banyak sumber untuk digunakan dalam skuad ini…”
Ancelotti berkata, beliau tidak bimbang mengenai perjuangan Mbappe di bahagian serangan dan menolak kemungkinan menukar kedudukannya, meminta lebih banyak bersabar ketika dia menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan baharunya.
“Mbappe adalah penyerang yang hebat, sangat pantas, dia bergerak dengan sangat baik tanpa bola, dia mengasak benteng pertahanan lawan, dia mempunyai tiga atau empat peluang hari ini,” kata Ancelotti.
“Di posisi ini dia akan menjaringkan gol seperti yang dia selalu lakukan. Dia tidak perlu bermain di sebelah kiri atau di tengah… pada akhirnya, dia akan menjaringkan gol, tunggu dan lihat.”