PERSATUAN Bola Sepak Melaka (MAFA) mengumumkan pelatikan baharu beberapa ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2023-2026 ketika Kongres Tahunan ke-67 di Melaka pada Ahad.

Antara perubahan besar yang berlaku adalah pemilihan Timbalan Presiden baharu, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri menggantikan Datuk Wira Yusoff Mahadi sebagai penyandang jawatan sebelum ini.

Perkara ini diumumkan sendiri Presiden MAFA, Datuk Ab Rauf Yusoh yang juga Ketua Menteri Melaka dan dia berharap dapat mengembalikan semula pasukan Melaka dalam Liga Malaysia sempena ulang tahun ke-100 MAFA pada 2024.

Bercakap pada sidang media, Rauf menyatakan pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai syarat yang diperlukan untuk Melaka kembali mewarnai kancah Liga Super selepas gagal memperolehi lesen kebangsaan bagi musim 2023.

“Kita akan cuba mengukuhkan kembali bola sepak Melaka dalam pelbagai sudut terutama kekuatan ekonomi pasukan bagi memastikan MAFA dapat menjadi pemangkin kepada aktiviti bola sepak yang kita akan pulihkan menjelang 100 tahun penubuhan MAFA pada 2024.

“Kita juga sudah merangka kerangka bola sepak baharu Melaka dan kita telah berunding dengan pihak MFL supaya kita dapat kembali ke persada Liga Super dalam masa yang akan ditentukan kelak,” katanya.

Perkara ini turut disahkan oleh Saiful yang mengakui perbincangan bersama MFL dan FAM sudah dijalankan dan sedang menanti berita baik yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita masih berbincang tentang syarat yang dikenakan oleh MFL atau FAM sama ada kita mempersetujui kerana melibatkan kewangan yang amat besar dan kami akan putuskan dalam mesyuarat exco yang akan datang.

“Pihak MAFA juga akan lebih berhati-hati ketika memilih rakan kongsi dan akan meneliti terlebih dahulu segala dokumen perjanjian bagi memastikan perkara lama tidak lagi berlaku kepada Melaka,” jelasnya yang ditemui selepas kongres.

MAFA juga tidak boleh mengumumkan nama rasmi pasukan yang akan bertanding dan perlu menunggu selepas mesyuarat exco dan permulaan liga musim 2024-25 yang sedikit lewat mungkin membenarkan Melaka bertanding jika menepati syarat yang ditetapkan MFL.