MAGHRIBI melakar sejarah muncul pasukan Afrika pertama ke separuh akhir Piala Dunia selepas mengejutkan Portugal 1-0.

Jaringan Youssef En Nesyri menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan, sekali gus menyaksikan satu lagi pasukan pilihan ditunjuk jalan keluar dari Piala Dunia Qatar, 2022.

Menggalas harapan seluruh Afrika, Maghribi sememangnya mahu slot di separuh akhir menjadi milik mereka.

Separuh masa pertama, Portugal memiliki penguasaan dengan 65.8 peratus, namun hanya memiliki satu cubaan tepat ke gawang Maghribi, berbanding pasukank lawan dua, malah Maghribi memiliki tiga sepakan penjuru berbanding lawannya dua kali.

Pemain Maghribi meraikan jaringan Youssef En-Nyesri.

Malah impian melakar sejarah di Piala Dunia semakin kelihatan sinarnya buat Maghribi, apabila Youssef En Nesyri menanduk masuk bola ke gawang dikawan Diego Costa, meletakkan Maghribi di depan 1-0 pada babak pertama.

Dalam bilik persalinan Maghribi pastinya berkisar mengenai kemungkinan mereka melakar sejarah negara Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Babak kedua bersambung, Stadium Al Thumama, bagaikan tuan rumah buat Maghribi apabila setiap kali pemain Portugal memegang bola, akan diejek penyokong.

Pada minti ke-51, Hakim Ziyech berpeluang menambah jaringan namun sepakan percuma diambilnya cuba disudahkan Jawad El Yamiq namun penjaga gol Portugal, Costa sempat menerpa.

Portugal memasukkan Cristiano Ronaldo dan Joao Cancelo, menggantikan Raphael Guerreiro dan Ruben Neves.

Skuad bimbingan Fernando Santos terus menekan kubu Maghribi, namun cubaan demi cubaan termasuk tandukan Goncalo Ramos tidak menepati sasaran.

Maghribi mula melakukan pertukaran strategi dengan mengeluarkan Sofiane Boufal dan Ziyech, dan membawa masuk Yahya Jabrane dan Zakaria Aboukhlal, pada minit ke-83.

Jentera serangan Portugal bertali arus cuba menembusi pertahanan Maghribi membuatkan jentera terakhir wakil Afrika itu berkubu dalam kawasan sendiri.

Penyokong Maghribi meraikan kemenangan pasukan kesayangan mereka.

Ketegangan memuncak pada tambahan masa apabila Walid Cheddira dilayangkan dua kad kuning lalu dibuang padang, ketika memasuki usia empat minit tambahan masa.

Begitupun, kedudukan Maghribi sudah selamat sebaik pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat membolehkan mereka mara ke separuh akhir buat kali pertama.