HARIA PENANG HARIA.

Slogan yang jarang-jarang lagi kedengaran di Stadium Bandaraya berikutan aksi yo-yo ditampilkan barisan pemain Penang FC musim ini.

Malah, pihak pengurusan Penang FC membuat tindakan drastik memutuskan merehatkan Ketua Jurulatih, Chong Yee Fatt dan penolongnya, Manzoor Azwira Abd Wahid sehingga selesai Liga Super musim 2023.

Tidak perlu menunggu lama, desas-desus kembali bertiup kencang dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan apabila beberapa nama besar ‘dipetik’ bagi membimbing semula bekas jagoan dari utara tanah air ke landasan yang sebetulnya dalam arena bola sepak tempatan.

Sumber rapat FLASH SUKAN mendedahkan, sejumlah nama dicadangkan bertindak sebagai Pengarah Teknikal kelab untuk melicinkan semula perjalanan pasukan untuk bersaing lebih ‘cekang’ di musim 2024.

Image

Antara nama disebut-sebut adalah bekas pemain Harimau Kumbang, Merzagua Abderrazzak, Matt Holland, Kamal Daud termasuklah mantan jurulatih Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah.

Sumber itu menyatakan, Penang FC akan melakukan sedikit perubahan dengan melantik jawatan coach manager sekali gus bertindak sebagai jurulatih yang bakal dipegang individu yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN  : “Belum ada communicate, hanya khabar angin” – Azraai Khor

Nama paling kuat dicanang-canang adalah Raja Isa Raja Akram Shah, pengendali profesional tanah air yang beberapa dekad melatih pasukan pertengahan Liga Indonesia dan kini menangani sebuah kelab liga utama di Bangladesh.

Kewibawaannya tidak boleh dipertikaikan apabila sentuhannya selalu ‘menjadi’ setiap kali mengambilalih kelab bermasalah dan berjaya melonjak kepada kedudukan lebih baik.

Rekod terdahulu membuktikan pasukan yang hampir terjerumus ke zon relegasi di Indonesia dapat diselamatkan hasil air tangan Raja Isa yang merupakan anak jati Ampang, Selangor.

Image

Boaz Salossa  menyarung jersi Indonesia bermula tahun 2004 hingga 2018.

Selama 15 musim berkelana ke negara seberang sejak 2007, sederetan nama besar terhasil. Antaranya, Boaz Salossa, Titus Bonai, Immanuel Wangai, Ahmad Amiruddin dan ramai lagi yang jelas menunjukkan keberanian Raja Isa melakukan perubahan di beberapa kelab besar di Indonesia.

Malah, semasa melatih skuad Muktijoddha SKC, salah seorang anak didiknya baru berusia 18 tahun, yang bermain di posisi penjaga gawang, Mehedi Hasan Srabon dapat mewakili pasukan skuad B-23.

Sementara itu, Raja Isa ketika dihubungi enggan mengulas lanjut namun menyifatkan ia sebagai perkembangan positif mempromosikan dirinya kembali ke Liga Malaysia selepas pernah bersama UiTM FC pada 2015 hingga 2016.

“Saya tak boleh komen apa-apa buat waktu ini,” katanya agak terperanjat apabila dikaitkan ke pasukan yang menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali.

Difahamkan, Raja Isa ingin menumpukan dahulu undangan daripada Persekutuan Bola Sepak Guinea melalui projek TweenAcademey Guinea FA membentangkan kertas kerja persiapan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Pusingan Akhir Piala Afrika bermula 11 Januari hingga 11 Februari 2024 dan Pra Piala Dunia B-19 2025.

Raja Isa turut diminta membentang metodologi PS Ball Mastery, modul-modul yang diperkenalkan oleh Syed Adnan Bin Syed Othman setelah berjaya diperkenalkan di Vietnam dan Bangladesh.

Selama 21 hari Raja Isa akan mengendalikan sesi kejurulatihan bersama Pasukan Projek Guinea. Kedatangan Raja Isa mendapat perhatian semua televisyen dan media Guinea serta Afrika.

May be an image of 7 people, people playing football, people playing American football and text

Skuad utama Penang FC yang beraksi dalam Liga Malaysia musim ini.

Raja Isa dikatakan sanggup menolak tawaran lumayan daripada Indonesia dan Bangladesh kerana ingin mencari cabaran dan suasana baharu.

Ketika diajukan kembali adakah dirinya berminat memperkasakan Penang FC, Raja Isa cuma menjawab asalkan dirinya bebas dalam menentukan pasukan dan diberi kesempatan melatih falsafah yang sesuai berdasarkan bajet yang disiapkan.

“Insya Allah Penang FC mampu bersaing dengan lebih kompetitif,” katanya.