TIGA jaringan menerusi set piece menghantar Selangor FC menghampiri pentas final selepas merakam kemenangan sensasi 3-1 ke atas Terengganu FC dalam perlawanan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, sebentar tadi.
Lebih menarik lagi ketiga-tiga jaringan yang diperoleh adalah menerusi tandukan Richmond Tetteh Ankrah, Herlison Caion dan pemain tempatan, Sharul Nazeem Zulpakar.
Bagaimanapun, pasukan pelawat, Terengganu FC terlebih dahulu berjaya membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma Brice Hermann Tchetche Kipre pada minit ke-20 dengan meledak kemas melepasi benteng pertahanan Selangor.
Tersentak dengan jaringan itu, Selangor kembali memperkemas serangan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke – 37 menerusi pertahanan, Richmond Tetteh Ankrah menerusi tandukan berbisa.
Gol tersebut jelas menyuntik semangat Gergasi Merah apabila berjaya memperoleh jaringan tambahan menerusi set piece tandukan Herlison Caion pada minit ke-43 sekaligus meletakkan Selangor FC mendahului 2-1.
Sekembali dari bilik persalinan, tuan rumah enggan menoleh ke belakang apabila Sharul Nazeem Zulpakar melebarkan jurang penguasaan Selangor FC di Kelana Jaya dengan menyumbat gol ketiga.
Selangor pimpinan Tan Cheng Hoe seakan menerima tonik luar biasa apabila asakan bertali arus tuan rumah sekali lagi berjaya menghasilkan gol keempat namun jaringan tersebut dibatalkan kerana Brendan Gan berada dalam kedudukan offsaid.
Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Selangor membawa bekalan kelebihan dua gol untuk dibawa ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 November ini.