PETRUS Shitembi membuktikan mengapa dia dipilih oleh Nafuzi Zain untuk mengepalai barisan tengah Terengganu FC (TFC) apabila mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu skuad Peteh meraih satu lagi kemenangan dalam Liga Super.
Tiga bantuan jaringan dilakukan Shitembi untuk membolehkan Tchetche Kipre menjaringkan dua gol manakala Faisal Halim satu gol untuk memberikan kemenangan 3-0 ke atas Penang FC.
Shitembi yang dikritik hebat ketika final Piala FA kerana aksi yang kurang meyakinkan berjaya menebus kehampaan dan kekecewaan apabila dilihat bersahaja memecah benteng Penang FC.
Nafuzi nyata gembira dengan kemenangan ini dan memuji karektor yang ditunjukkan oleh para pemainnya sejak dari awal permainan.
“Saya gembira kita mendapat tiga mata. Pada awalnya saya risau akan moral pemain selepas tewas di final tetapi karektor yang ditunjukkan sangat baik dari awal perlawanan dan saya beri pujian kepada mereka,” katanya selepas perlawanan.
🏴🏳️ KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN 🏴🏳️
FT [ @FCTerengganu 3-0 @Penang_FC ]
⚽️ Faisal Halim
⚽️⚽️Kipre Tchetche#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/y146JR1f1L— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) September 14, 2022
Kekalahan kelapan berturut-turut dalam liga memperlihatkan skuad kendalian Datuk Zainal Abidin Hassan kekal di tangga terbawah dengan aksi hambar pada keseluruhan permainan tanpa percubaan yang berbahaya.
Pemain-pemain Harimau Kumbang seolah-olah hilang punca pada perlawanan ini dengan memberikan ruang yang banyak kepada Terengganu hingga mereka berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh yang singkat.
Datuk Zainal Abidin Hassan nyata tidak gembira dengan permainan yang ditunjukkan anak-anak buahnya dan menganggap mereka tidak berjaya fokus terutama pada minit-minit terakhir permainan.
“Sekali lagi ini adalah permainan yang tidak sepatutnya ditunjukkan oleh pemain. Dua gol pada minit akhir menunjukkan pemain tidak fokus hingga akhir permainan. Apabila bertemu Terengganu kita perlu menguasai bahagian tengah tetapi kita gagal dan kita dihukum oleh mereka,” tegasnya
Tiga mata penuh ini mengekalkan Terengganu FC di tangga keempat tetapi kini hanya tiga mata dibelakang Negeri Sembilan dan semakin menghampiri tiket ke Piala AFC 2023.