MAGIS daripada pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan cukup menjadi apabila membimbing anak buahnya mara ke separuh akhir Piala FA.

Tatkala peminat sudah menyangka perjuangan The Panthers bakal berakhir, namun api kebangkitan ditunjukkan para pemain di babak kedua menerbitkan perasaan syukur Zainal Abidin.

“Alhamdulillah, tahniah kepada pemain kerana mereka berusaha gigih.

“Saya tahu mereka terlena dan terleka di awal permainan memberikan pasukan lawan menjaringkan dua gol tetapi satu kebangkitan yang amat baik daripada pasukan Penang FC.

“Cara mereka melawan. Alhamdulillah mereka menunjukkan satu comeback yang begitu baik” ujarnya selepas perlawanan.

Walaupun baru sahaja mengambilalih Penang FC daripada Tomas Trucha dalam beberapa perlawanan, bekas jurulatih Melaka United FC itu berjaya menggunakan segala kepakaran yang ada untuk bangkit menewaskan Sri Pahang FC.

Temujanji seterusnya adalah berdepan Johor Darul Ta’zim untuk saingan separuh akhir di Stadium Sultan Ismail.

Ketika ini kelab berpangkalan dari utara itu menghuni di dasar saingan Liga Super.

Mereka baru mengutip tujuh tiga mata daripada 12 perlawanan yang telah diharungi.