SELEPAS gagal menyumbang sebarang pingat pada hari pertama temasya Sukan Asia Hangzhou pada Ahad, Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt optimis anak buahnya tidak akan pulang tangan kosong dan mampu menyumbang pingat buat kontinjen negara.
Kim Fatt yang juga Ketua Kontinjen ke Sukan Asia 2022, berkata, beberapa atletnya yang masih lagi bertanding diharap dapat memberikan persembahan terbaik dengan tumpuan terarah kepada kelibat juara dunia 2019, Tan Cheong Min yang berentap dalam acara kombinasi nanquan+nandao, esok. (Selasa)
“Saya pun mahu juga (pingat emas) tetapi Cheong Min seharusnya berada dalam kedudukan tiga terbaik dunia. Jadi kita harap memang tidak akan apa-apa kesilapan akan dilakukan Cheong Min dan kita akan dapat pingat.
“Kalau sukan berprestasi tinggi seperti wushu ini, kita tidak boleh membuat satu kesilapan sekalipun. Selain daripada persembahan, saya percaya penting untuk kita mengharapkan kepada tuah,” katanya ketika ditemui media.
Beliau yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Asia Hangzhou 2022 berkata, selain Cheong Min, seorang lagi atlet wushu negara, Calvin Lee Wai Leong akan turut bertanding bagi acara kombinasi nanquan+nangun lelaki di Pusat Sukan Xiashan Gaoli.
Kim Fatt berakta, beliau sudah bertemu Cheong Min dan menitipkan kata-kata semangat kepadanya dengan dia menegaskan atletnya datang ke Hangzhou bukan semata-mata untuk ‘bersiar-siar’.
“Saya percaya atlet saya datang ke sini demi negara, mereka ada podium dan saya sangat menghormati mereka. Saya tahu mereka berlatih dengan sangat keras untuk bertanding.
“Bukan sahaja Cheong Min tetapi atlet wushu lain pun begitu juga,” katanya.
Pada hari pertama wushu semalam (Ahad), Malaysia hampir meraih pingat sulung negara namun Sydney Chin menduduki tempat keempat dalam acara gabungan taijiquan-taijijian dengan perbezaan 0.01 mata.
Pemenang pingat perak dalam disiplin sama di Sukan SEA Kemboja itu mengutip 19.460 mata – hanya dibezakan sedikit berbanding pemenang pingat gangsa dari Hong Kong, Chen Sujin (19.476).