BEKAS pemain bola sepak negara, Mahali Jasuli, meluahkan keyakinannya terhadap skuad kebangsaan dalam usaha untuk meraih kejayaan di Piala Mitsubishi Electric 2024 (Piala AFF) yang akan berlangsung Disember ini.

Dalam satu sesi temubual, Mahali menegaskan bahawa skuad yang ada sekarang ini sudah berada di landasan yang betul untuk memburu kejayaan.

“Pada pendapat saya, dengan skuad yang ada sekarang ini, ia sudah berada di landasan yang tepat. 

“Kalau kita lihat, pemain-pemain sekarang ini, sama ada senior mahupun junior, sama ada pemain naturalisasi atau tidak, memang menjadi harapan saya dan juga peminat untuk kita memenangi Piala AFF kali ini dan memberikan kegembiraan kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujar Mahali.

Sesi bergambar besama pasukan Mitsubishi Malaysia

Mahali turut menyentuh mengenai prestasi semasa skuad kebangsaan yang dilihat semakin meningkat, mencerminkan kerja keras yang dipamerkan oleh para pemain.

“Saya lihat untuk skuad kali ini, pencapaian sepanjang tahun ini juga agak baik. Saya percaya kalau pemain bermain bersungguh-sungguh, kita boleh menang,” katanya penuh yakin.

Mahali juga sempat berkongsi pandangannya mengenai perlawanan persahabatan Malaysia dan New Zealand Isnin ini.

Jelasnya,  cabaran yang menanti skuad Harimau Malaya adalah sukar, namun yakin pasukan mampu memberikan saingan sengit.

“Kali ini, saingan yang agak berat cuma jangkaan saya pasukan akan dapat beraksi dengan baik.

Norshahrul Idlan Talaha, Mahali Jasuli, dan Amri Yahya bergambar bersama Piala AFF 2024

“Mungkin keputusan perlawanan boleh diketepikan, tetapi sekurang-kurangnya kalau kita berjaya seri, itu adalah pencapaian yang agak besar untuk skuad Harimau Malaya,” katanya.