GELARAN juara dunia wushu yang diraih pada 2019, bukan lagi mahkota yang boleh dijadikan ukuran kehebatan di Sukan Asia 2022.

Tan Cheong Min mengakui ramai pesaing yang hebat beraksi di Temasya Hangzhou kali ini, namun dia bertekad untuk memberikan yang terbaik apabila beraksi dalam acara kombinasi nanquan + nandao, esok (Selasa).

Atlet berusia 25 tahun itu, menjadi sandaran pingat emas buat kontinjen negara di Sukan Asia 2022, berdasarkan reputasi sebagai bekas juara dunia selain prestasi semasa yang memberangsangkan menerusi dua pingat emas di Sukan SEA Kemboja, Mei lalu.

“Bagi saya, semua perkara bermula dari kosong selepas saya turun daripada podium, walaupun pernah bergelar juara dunia dan pemenang dua pingat emas di Sukan SEA 2023.

“Tekanan itu pasti ada, tetapi saya lebih suka mengganggapnya sebagai sumber motivasi untuk membantu saya melakukan yang terbaik ketika turun bertanding nanti.

Tan Cheong Min akan turun beraksi esok.

“Persembahan dilakukan di Sukan Sea sebelum ini, banyak membantu saya meningkatkan persembahan dan keyakinan. Saya rasa persiapan sudah cukup dan sekarang saya menunggu untuk acara saya, Selasa ini (hari ini),” katanya.

Cheong Min kelihatan lebih kurus dan cergas sejak menjalani latihan selama sebulan di China, mengakui mampu melakukan gerakan lebih baik dan melompat lebih tinggi.

Katanya, rutin latihan di China banyak mempengaruhi perubahan fizikal dan kecergasan atlet wushu negara yang beraksi di Sukan Asia Hangzhou, kali ini.