PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain menjelaskan keadaan padang yang tidak rata membuatkan anak-anak buahnya gagal bermain corak permainan yang biasa diperagakan.
Namun begitu dia tetap memuji barisan pemainnya yang beraksi cemerlang dan menunjukkan semangat juang yang tinggi meskipun berhadapan lawan yang sukar.
“Kita bersyukur mendapat kemenangan dan bermain di away bertemu Penang. Tetapi apapun, pandangan peribadi sayalah, saya tengok keadaan padang yang begitu menyukarkanlah.
“Bukan untuk pasukan saya sahaja, untuk kedua-dua pasukan. Pemain bermain dalam keadaan padang yang keras, tidak rata. Kita tengok dari segi bola, pumping itu membuatkan apa yang mungkin kita terjemahkan game sebenar terlalu berisikolah.
“Usaha pemain, sampai ke minit terakhir, akhirnya kita mendapat tiga mata. Saya rasa game Penang bertemu Kedah dalam setiap persaingan memang cukup sengit,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Bandaraya.
Nafuzi turut mengakui kemenangan dicapai itu amat mustahak bagi terus bersaing mengejar pasukan kedua atasan Liga Super dalam misi memburu slot ke pertandingan Piala AFC.
“Pemain mungkin lagi lama, lagi faham, lagi serasi. Kemenangan ini penting sebab kita sekarang ni terus bersaing berada di atas dan tidak boleh tercicir mata. Saya tengok pasukan di atas kita dan di bawah kita selalu mendapat mata, kita kena menanglah,” katanya lagi.
Bekas pengendali Terengganu FC itu juga mempersiapkan menjelang aksi getir berikutnya berdepan Johor Darul Ta’zim di halaman sendiri pada 26 Ogos ini.
“Kita harus positif mencuba yang terbaik sebab yang penting usaha dulu. Dari segi result itu akan datang kemudianlah.
“Saya rasa kita dapat bermain dengan mempersembahkan yang terbaik ketika bertemu pasukan yang baik,” ujarnya.