PERSARAAN Goh Liu Ying yang membuat penampilan terakhir di Terbuka Malaysia semalam, akan diraikan dalam satu majlis.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Kenny Goh mengesahkan perkara itu.

Kenny berkata, majlis ringkas menghargai sumbangan Liu Ying kepada badminton negara, dijangka berlangsung pada pusingan separuh akhir, Sabtu ini.

“Kami merancang untuk turut mengadakan perlawanan pertunjukkan pada majlis itu. Akan ada jemputan daripada kalangan pemain dan teman rapat Liu Ying.

“Majlis ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan Liu Ying yang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa sepanjang kerjayanya.

“Jadi, saya menyeru peminat badminton tempatan untuk beramai-ramai hadir ke stadium, mana yang belum ada tiket, masih boleh beli lagi. Kejutan lain, tunggu pada Sabtu ini,” kata Kenny.

Kenny Goh minta peminat membuat pembelian awal secara atas talian.

Liu Ying, 34, yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama pasangannya, Chan Peng Soon dilabel sebagai pasangan beregu campuran terbaik negara.

Pada penampilan terakhirnya, dia yang kembali bergandingan bersama Peng Soon tewas 21-18, 15-21, 7-21 kepada gandingan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, semalam.

Pengakhiran kerjayanya pada saingan Terbuka Malaysia kali ini disifatkan cukup signifikan buat pemain kelahiran Melaka itu yang menyaksikan dia memulakan gandingannya bersama Peng Soon di kejohanan yang sama 15 tahun lalu dan memulakan aksi di pentas antarabangsa pada Terbuka Malaysia 2008.

Aksi terakhir Goh Liu Ying bersama Chan Peng Soon di Terbuka Malaysia, semalam.

Peng Soon-Liu Ying merekodkan keseluruhan 12 gelaran sepanjang gandingan mereka sejak 2008 termasuklah muncul juara Asia 2010 dan Terbuka Jepun 2012.

Mereka juga muncul naib juara dalam beberapa kejohanan utama termasuklah dua kali di Terbuka Malaysia 2013 dan 2016 selain Seluruh England 2017.