PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memutuskan bahawa satu resolusi khas telah dibuat untuk merayu kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) , supaya penganjuran Sukan SEA edisi ke-34 di Malaysia berada dalam landasan yang tepat.

Resolusi tersebut telah disokong penuh oleh Persatuan-Persatuan Sukan Malaysia dalam satu Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM kali ke-209 yang diadakan di Shangri-La Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurut Mohamad Norza, Malaysia yang dipilih menjadi tuan rumah buat temasya Sukan SEA 2027 adalah satu peluang terbaik dan kata sepakat yang dicapai oleh kesemua persatuan sukan adalah menuju satu tujuan yang sama, supaya pihak kerajaan (KBS) mengekalkan penganjuran sukan ini di Malaysia.

Malaysia dipilih menjadi tuan rumah untuk aksi Sukan SEA 2027.

“Kita akan menulis dan menghantar satu surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan memberitahu keputusan sebulat suara daripada seluruh warga sukan tanah air, yang diwakili oleh persatuan-persatuan sukan yang hadir ke mesyuarat kita.

“Kami hanya melontarkan suara dan rayuan kepada pihak kerajaan untuk meneruskan acara Sukan SEA 2027 di Malaysia. Kita tidak mahu ada sebarang gangguan terhadap pelan ini kerana ianya mempengaruhi maruah dan martabat negara kita.

“Kita perlu mempunyai tahap keyakinan tinggi untuk menghadapi Sukan SEA ini, dan kita juga tidak mahu para atlet berasa bimbang terhadap status penganjuran ini (yang akan melibatkan latihan dan program mereka).

Mohamad Norza mahu KBS pertimbang rayuan supaya kekalkan penganjuran Sukan SEA di Malaysia.

“Jadi saya harap resolusi ini dapat didengari oleh pihak KBS, dan kami mahu mereka mempertimbangkan rayuan untuk kita kekalkan acara Sukan SEA ini,” kata Mohamad Norza pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-209 & Sambutan Hari Raya Aidilfitri MOM, Isnin.

Dalam perkembangan sama, Norza juga ada berkongsi hasratnya untuk memilih negeri Sarawak sebagai salah satu venue bersama bagi penganjuran Sukan SEA 2027.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketujuh Malaysia diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA, sejak kali pertama penganjuran tahun 1965 ketika temasya ini dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP).