ENAM atlet dinamakan mewakili skuad karate negara di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, dalam usaha meraih satu pingat emas yang disasarkan pada temasya itu.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad mengumumkan perkara itu berkata, daripada enam atlet dipilih, empat daripadanya krateka lelaki manakala dua lagi wanita dan semuanya dalam acara kumite.
Menurutnya, enam atlet karate lelaki yang dipilih ialah Muhammad Arif Afifuddin (kumite lelaki 84kg), H. Sureeya Shankar (kumite lelaki 60kg), S. Prem Kumar (kumite lelaki 55kg) dan R. Sharmendran (kumite lelaki bawah 75kg).
Sementara dua karateka wanita yang menjadi sandaran, P. Madhuri (kumite wanita 55kg) dan C. Shahmalarani (kumite wanita bawah 50kg).
Beliau berkata, enam atlet dipilih selepas mengadakan perbincangan dengan tiga jurulatih skuad karate negara.
“Makaf mensasarkan hanya satu pingat emas pada temasya Sukan Asia di Hangzhou, China September ini dan sasaran ini adalah realistik.
“Persiapan rapi akan dilakukan untuk enam atlet karate negara yang terpilih bagi menjalani latihan di Maghribi, Tunisia dan sebuah negara di Eropah,” katanya di Kejohanan Karate Asia ke-19 berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini.
Nur Azmi berkata, skuad karate negara mempunyai tempoh dua bulan dalam membuat persiapan rapi bagi persediaan mengharungi cabaran getir di Sukan Asia nanti.
Menurutnya, Makaf berkemungkinan besar akan membuat perubahan kategori atlet yang bertanding mengikut kesesuaian acara yang dipertandingkan nanti.
Katanya, perubahan itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal selepas menilai prestasi kesemua 16 atlet karate negara yang bertanding di Kejohanan Karate Asia ke-19 yang sedang berlangsung di MITC. Ujarnya, perubahan itu amat penting buat enam atlet karate dapat menyumbang satu pingat emas yang disasarkan.
“Sebagai contoh, jika prem boleh kekal bertanding bagi berat badan 75kg kita akan kekalkan begitu juga kalau Sureeya Shankar boleh ke berat 55kg daripada 60kg kita akan turunkan,” katanya.