KARATEKA negara dijangka mula mendapat perlindungan daripada syarikat insurans tidak lama lagi, selepas segala urusan berkaitan selesai.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pelaksanaannya kini di peringkat pemprosesan dengan syarikat pengendali Insurans.

“Kita sedang proses sekarang dan rasanya selepas sambutan hari raya sudah boleh proceed, kita akan jalin usaha sama iaitu, 50 peratus kita (Makaf) bayar, 50 peratus lagi syarikat insurans taja.

“Ketika ini kita sedang berurusan dengan tiga syarikat insurans dan kita akan memilih yang terbaik,” kata Nur Azmi, ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Warga Sukan di Majlis Sukan Negara (MSN).

Presiden Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad (kanan duduk) turut hadir pada Majlis Berbuka Puasa Warga Sukan di MSN.

Beliau berkata, pihak persatuan belum memutuskan kaedah caruman sama ada pembayaran tahunan mahupun bulanan, namun perlindungan itu akan membabitkan atlet pelapis atau remaja.

“Untuk atlet senior, mereka sudah ada skim gaji dan mendapat perlindungan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), jadi junior akan ada perlindungan penuh insurans berdasarkan ebrapa lama mereka akan berkhidmat dalam program pembangunan.

“Saya akan ambil kedua-duanya perubatan dan nyawa kerana mereka (karateka) melibatkan sparring, saya mahu mereka dilindungi dalam perjalanan pulang ke destinasi masing-msing kerana penting bagi kami menjaga nyawa atlet kita dengan baik.

Atlet sukan tempur sememangnya terdedah kepada risiko kecederaan.

“Sememangnya untuk atlet yang menyertai kejohanan ada perlindungan tapi hanya dalam kejohanan,” ujar Nur Azmi lagi, sambil mengesahkan Makaf kini mempunyai 16 atlet dalam program pembangunan.

Artikel Berkaitan: Perlindungan hayat dan insurans perubatan untuk atlet pendekatan terbaharu Makaf

Pada Mac lalu, FLASH SUKAN melaporkan barisan Exco Makaf bersetuju melindungi atletnya dengan perlindungan insurans, sekali gus menjaga kebajikan atlet.

Nur Azmi pada mesyuarat Exco Makaf ketika itu diminta mengulas soal keselamatan atlet sukan tempur selepas berlaku insiden menyayat hati apabila seorang pesilat Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, meninggal dunia selepas menyertai pertandingan di Negeri Sembilan.