SATU emas dan dua perak dari karate adalah pencapaian terbaik dicapai Persatuan Karate Malaysia Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) selepas 15 tahun.
Pencapaian menggembirakan itu dianggap cukup memotivasikan sehingga Presiden Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad mengumumkan, akan menubuh akademi karate di setiap zon termasuk Sabah dan Sarawak untuk proses pembangunan sukan berkenaan.
Akademi itu itu disifatkan sebagai keperluan bagi mempersiapkan atlet pelapis agar mereka mampu mengambil alih tempat senior.
“Saya akan bawa bekas atlet yang pernah menyumbangkan pingat negara mengendalikan akademi yang akan ditubuhkan untuk memastikan kecemerlangan sukan karate berterusan.
“Sasaran kita adalah untuk 2027 dan lebih banyak atlet muda akan membawa lebih banyak pingat kepada negara,” katanya.
Emas dari karate yang hadir pada hari terakhir, menjadi penyelamat kontinjen negara di temasya kali ini dengan kejayaan keseluruhan enam emas, lapan perak dan 18 gangsa, sekali gus mencapai keseluruhan 32 pingat.
Lebih membanggakan, ia disumbangkan oleh atlet muda berusia 24 tahun, Muhammad Arif Affifuddin Abd Malik.
Manakala dua perak dari sukan berkenaan di sumbangkan oleh kata wanita individu dan berpasukan terdiri daripada Nathalia Sherawinnie, Nancy Nelly, Lovelly Anne, masing-masing berusia 19 tahun.
Tegas Azmi, beliau juga akan memohon kepada Majlis Sukan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantu Makaf menaikkan taraf sukan itu ke peringkat lebih tinggi.
Pada edisi lalu di Jakarta-Palembang kontinjen karate negara sekadar meraih satu gangsa menerusi S Prem Kumar bagi kategori -60 kilogram.