PEMAIN penyerang Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Hanapi tidak mahu mendabik dada dengan prestasi semasa dan perhatian yang diterimanya daripada para penyokong malah menegaskan dia masih belum berpuas hati dengan tahap permainannya dan masih banyak perkara yang perlu dipelajari olehnya.
Dia juga sedar yang meskipun baru berusia 21 tahun tetapi semakin ramai penyokong terutama kanak-kanak yang menjadikan dia sebagai idola namun dia tetap menganggap dirinya masih perlu meningkatkan tahap permainannya.
“Biasalah penyokong atau budak-budak mengharapkan sesuatu dari saya, tetapi saya hanyalah seorang budak muda yang masih kena belajar banyak lagi perkara dalam bola sepak.
"Saya tidak boleh menghalang penyokong terutama kanak-kanak untuk mengidolakan saya tetapi itu bukan alasan untuk saya membangga diri dan terus belajar ilmu bola sepak"
Arif Aiman Hanapi, penyerang @OfficialJohor#PialaFA2023 #LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/Ij28Mn879x
— Flash Sukan (@FlashSukan) June 26, 2023
“Jika mereka mahu mengidolakan saya tidak mengapalah, tetapi saya tidak boleh berpuas hati atau berasa bangga, saya perlu terus bekerja keras tingkatkan tahap permainan,” katanya ketika menjawab soalan dari FLASH SUKAN.
Selain itu Arif turut menganggap, Esteban Solari sebagai salah seorang individu yang sentiasa mendorong dirinya untuk meningkatkan lagi tahap permainan dalam menjadikan dirinya sebagai pemain penyerang yang lengkap.
Arif turut menjadikan rakan-rakan sepasukannya di JDT dan skuad Harimau Malaya sebagai rujukan untuk dia lebih mempelajari tentang bola sepak kerana dia masih mempunyai karier yang panjang.
“Jurulatih selalu beri semangat dan motivasi kepada saya ketika sesi latihan untuk tingkatkan prestasi dan dia juga melatih saya untuk main di posisi lain juga, bukan hanya bahagian sayap dan saya juga banyak belajar daripada pemain-pemain senior dalam pasukan JDT dan skuad kebangsaan,” tambahnya.