SEJAK kebelakangan ini, terdapat beberapa pemain  dalam saingan Liga Malaysia yang menunjukkan isyarat lucah di atas padang.

Dalam masa seminggu lebih ini, terdapat tiga insiden membabitkan pemain menunjukkan isyarat yang kurang selesa ketika perlawanan sedang berlangsung.

Insiden pertama membabitkan pemain tengah Perak FC, Azfar Fikri yang membuat isyarat lucah ketika perlawanan ‘El Klasiko Malaya’ menentang Selangor dalam aksi Liga Super 2024/25 pada 23 Jun lalu.

Azfar Fikir ketika perlawanan Liga Super menentang Selangor. (Sumber Gambar: MFL)

Insiden itu dikatakan berlaku semasa perebutan bola antara Azfar dan pemain Selangor, Zikri Khalili. Azfar meminta balingan ke dalam, tetapi pengadil memberikannya kepada Selangor sebaliknya. Azfar yang kecewa didakwa telah menunjukkan isyarat lucah kepada penjaga garisan.

Insiden kedua melibatkan pemain pertahanan Penang FC, Fairuz Zakaria ketika perlawanan ‘Derbi Utara’ menentang Kedah Darul Aman FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA pada 28 Jun lalu.

Kejadian tersebut berlaku di penghujung separuh masa kedua perlawanan dengan Fairuz ketika itu dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari pemain gantian Kedah, Zamri Pin.

Fairuz Zakaria membuat aksi yang tidak senonoh ketika perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC. (Sumber Gambar: MFL)

Fairuz yang tidak mampu mengawal emosi kemudian menunjukkan isyarat lucah terhadap pengadil selepas diarah keluar padang oleh pengadil perlawanan, Ahmad Zuhadi Dzulkifli.

Insiden yang ketiga dan terbaharu melibatkan kapten pasukan Imigresen FC, Mohd Nasriq Baharom apabila beliau juga dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, P. Jeevanathan selepas dikesan menunjukkan aksi lucah dihadapan pengadil itu.

Kesemua aksi lucah yang dilakukan oleh ketiga-tiga pemain ini sempat dirakamkan oleh kamera, sekaligus mereka yang terlibat tidak boleh menafikan bahawa melakukan perbuatan itu.

Kapten pasukan Imigresen FC, Mohd Nasriq Baharom dilayangkan kad merah selepas menunjukkan aksi kurang enak di hadapan pengadil. (Sumber Footage: MyTV Mana Mana melalui AFL TV)

Tindakan ini ternyata mengundang kritikan daripada ramai pihak terutamanya penyokong bola sepak tempatan yang rata-rata merasa kurang senang dengan tindakan pemain itu yang dianggap biadap serta tidak menunjukkan contoh yang baik.

Malah, tindakan yang kurang enak oleh ketiga-tiga pemain ini juga mampu untuk mengundang pengelola  Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengambil tindakan dengan mengenakan hukuman terhadap mereka ini.

Bekas pemain Selangor FC, Nurridzuan Abu Hassan juga pernah menunjukkan aksi lucah terhadap penyokong Perak FC pada 2019

Sebagai pemain yang profesional, mereka seharusnya menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi serta menunjukkan contoh dan teladan yang baik agar pemain bola sepak generasi akan datang mampu untuk mencontohi mereka.

Diharap MFL atau FAM mengambil tindakan keras pada masa hadapan agar aksi-aksi sedemikian dapat dicegah dengan serta merta.