KETUA jurulatih Palestin, Makram Daboub yakin pasukannya dapat memberikan saingan sengit kepada Jordan menjelang saingan Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 di Cheras esok.
Menurut pengendali dari Tunisia itu, beliau yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk memberikan aksi yang terbaik di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur esok.
“Kami melakukan persiapan terbaik terutamanya selepas berjaya mengikat Korea Selatan. Sungguhpun terdapat pemain yang melapor diri lewat, kami berusaha sebaik mungkin untuk membentu keserasian di atas padang.
“Kami amat menghormati Jordan yang juga merupakan finalis Piala Asia 2023 namun kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk perlawanan ini.
“Setiap pasukan dalam kumpulan ini mempunyai peluang sama rata untuk layak ke peringkat seterusnya. Misi kami adalah untuk menghuni kelompok empat terbaik kumpulan,” katanya selepas sidang media pra perlawanan tadi.
Keputusan sebelum ini menyaksikan Palestin meraih kejutan apabila mencatat keputusan seri menentang gergasi Asia, Korea Selatan dengan keputusan 0-0.
Jordan juga mencatat keputusan seri dalam aksi pembukaan apabila diikat 1-1 oleh Kuwait yang berada dikedudukan ke-136 dalam ranking FIFA di Amman.
Perlawanan aksi kedua Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 diantara Palestin dan Jordan bakal berlangsung jam 10 malam esok di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.