PEMAIN Terengganu FC, Ivan Mamut yang berjaya menjaringkan gol buat pasukannya dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 meluahkan kekecewaan apabila keputusan 1-3 berpihak kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Penyerang dari Croatia itu pasti pada awalnya teruja untuk beraksi dalam pentas akhir pertamanya di Malaysia dan menaruh harapan tinggi untuk memenangi trofi sejurus membantu pasukannya mencapai kemenangan.
Namun, walau usaha berlipat ganda telah dilakukan oleh Ivan, ianya tetap tidak menyebelahi skuad Sang Penyu dan mereka gagal untuk menamatkan musim kemarau kekalahan selama hampir 22 tahun tidak memenangi piala berprestij tersebut.
“Saya tidak gembira dengan kekalahan ini tapi kita juga sudah berhempas pulas sampai minit terakhir. Dengan penalti 1-1 kita berjaya menyamakan jaringan pada babak pertama dan itu satu keputusan agak positif walaupun akhirnya kami kalah.
“Boleh dikatakan malam yang tidak bertuah juga buat Terenganu, mungkin jika saya dapat membantu jaringkan gol lebih, ia akan mengubah keputusan tetapi malangnya kita kalah juga dan setidaknya dapat habiskan Piala Malaysia di kedudukan naib juara.
“Jadi apapun, terima kasih kepada semua penyokong yang datang dari jauh, kalian lihat sendiri permainan tadi dan saya harap tahun depan Terengganu dapat tampil dengan aksi dan keputusan lebih baik,” ujarnya selepas perlawanan.
Tambah Ivan, mengenai keadaan padang yang dilihat teruk dalam gambar juga tidaklah terlalu negatif apabila bermain di atasnya malah situasi itu juga tidak membahayakan pemain-pemain Terengganu dan pihak lawan juga.