SKUAD bawah (B-17) wanita kebangsaan tidak memandang rendah kemampuan barisan Kepulauan Mariana Utara menjelang aksi Kelayakan Piala Asia B17 Wanita pada Jumaat meskipun negara kepulauan itu dibelasah 11-0 oleh Thailand sebelum ini.

Sebaliknya Ketua Jurulatih, Petronella Douny mahu para pemainnya memberikan sepenuh tumpuan dan beraksi dengan baik bagi memastikan tiga mata menjadi milik Malaysia sekali gus membuka peluang untuk layak ke pusingan kelayakan kedua pada September.

Dia juga mahukan sokongan positif dari penyokong kepada barisan pemainnya dan menyifatkan skuadnya masih muda dan perjalanan mereka masih panjang dan berpotensi untuk lebih berkembang.

“Kita tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan meskipun mereka tewas dengan keputusan 11-0. Kami tetap memandang tinggi lawan dan kami sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan pada Jumaat ini.

“Pasukan kami baru sahaja dibentuk dan hanya dipersiapkan dalam 18 hari sahaja berbanding pasukan lain yang sudah melakukan persiapan selama setahun. Pemain kita masih muda serta perjalanan masih jauh dan pasukan ini perlukan sokongan positif dari para penyokong.

“Kita akan mengekalkan segala perancangan yang telah dirancang untuk perlawanan esok kerana apa yang penting adalah tiga mata keatas Kepulauan Mariana Utara dan fokus untuk mendapatkan juga tiga mata apabila bertemu Thailand pada Ahad nanti,” katanya dalam temubual secara dalam talian dari Buriram, Thailand.

Petronella dan Eriesya pada sidang video bersama media

Sementara itu kapten pasukan, Eriesya Dareena pula yakin dengan kemampuan rakan-rakan sepasukannya dengan mempunyai sasaran peribadi untuk membawa Malayan Tigress layak ke pusingan kedua kelayakan September nanti.

“Sasaran peribadi saya adalah layak ke peringkat kedua pusingan kelayakan. Saya yakin dengan kemampuan rakan sepasukan untuk berikan kejayaan buat pasukan ini,” katanya dalam sidang video yang sama.

Kesemua pemain juga difahamkan berada dalam keadaan yang baik dan mula menyesuaikan diri dengan keadaan di Buriram meskipun agak kepenatan kerana menempuh perjalanan yang panjang pada peringkat permulaan dan kesemua pemain bersedia diturunkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Skuad Malayan Tigress B-17 akan menentang Kepulauan Mariana Utara pada Jumaat di Stadium Buriram City sebelum berhadapan Thailand pada Ahad dalam Kumpulan A dengan juara setiap kumpulan akan layak ke peringkat kedua kelayakan yang dijadualkan pada September 2023.