SKUAD Wanita Bawah 18 Tahun (B-18) Negara berjaya mencatat kemenangan sulung apabila menewaskan Filipina 2-1 untuk memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

Skuad muda wanita negara ini mempamerkan aksi yang meyakinkan dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Kejuaraan Wanita B-18 Piala AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Gelora Sriwijaya, Palembang hari ini.

Kemenangan tersebut sekurang-kurangnya memberikan senyuman dan keyakinan kepada anak-anak buah Kok Keng Lin yang sebelum ini tewas kepada Myanmar dan Australia.

Dua gol yang dihasilkan itu juga menamatkan kemarau jaringan buat skuad negara dan pastinya akan menjadi kenangan manis buat penjaring kedua-dua gol, Nur Najwa Irdina Zaidi.

Najwa Irdina menjaringkan dua gol pantas pada minit keempat dan kelapan yang memeranjatkan barisan Filipina untuk memastikan tiga mata menjadi milik Malaysia.

Pujian harus juga diberikan kepada barisan pertahanan yang berjaya mematahkan serangan berbahaya lawan meskipun terpaksa akur dengan satu gol hasil jaringan Isabella Flanigan pada awal babak kedua.

Malaysia berjaya menamatkan kempen di tempat ketiga kumpulan dengan tiga mata dibelakang Australia dan Myanmar dan kejuaraan ini pastinya menjadi medan pendedahan yang baik buat para pemain.