SKUAD bola sepak wanita kebangsaan menganggap tuah mengiringi mereka ke separuh akhir selepas terpaksa menunggu selama dua hari sebelum mengetahui nasib mereka yang akhirnya berjaya ke peringkat seterusnya.

Malayan Tigress yang seri dua kali layak sebagai naib juara Kumpulan A dibelakang tuan rumah, Arab Saudi dan kini bakal berdepan cabaran juara Kumpulan B, Lubnan pada Rabu di Stadium King Fahd Sports City, Taif, Arab Saudi.

Pengendali, Soleen Al-Zoubi yang berasal dari Lubnan mengenali corak permainan yang ditampilkan negara itu dan menjangkakan aksi sukar menanti anak-anak buahnya namun dia yakin dengan kemampuan barisan pemainnya.

“Sangat gembira kerana layak tetapi lebih puas hati jika dapat layak dengan mata yang lebih kerana kita berhak untuk mendapat lebih mata. Namun ianya bagus untuk bergelut di peringkat awal supaya kita lebih sedia di peringkat seterusnya iaitu di separuh akhir ini.

“Para pemain berada dalam keadaan yang baik dan kami mempunyai lebih banyak masa untuk mempersiapkan pasukan. Mereka nampak lebih baik ketika sesi latihan dan fizikal mereka juga kelihatan lebih tenang dan berada dalam keadaan yang positif serta lebih fokus untuk memberikan keputusan yang baik buat Malaysia.

“Kami jangkakan satu perlawanan yang sukar kerana saya mengenali Lubnan sejak sekian lama dan tahu cara mereka bermain dengan beberapa pemain mereka yang bermain di Eropah. Ianya pasti sukar tetapi ianya akan menjadi satu ujian terbaik buat semua pemain dengan mereka perlu tunjukkan semangat melawan.

“Saya juga anggap perlawanan ini seperti perlawanan akhir dengan mengharapkan satu persembahan yang baik dari mereka yang mana ini adalah sangat penting buat kami dan juga para penyokong,” katanya dalam temubual pra perlawanan.

Sementara itu penyerang Malayan Tigress, Usliza Usman berharap dapat menjaringkan gol dan memberikan kemenangan buat skuad negara tetapi segalanya bergantung pada keputusan jurulatih sama ada dia akan diturunkan atau tidak tetapi dia telah bersedia untuk mengharumkan nama negara.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Arab Saudi bakal bertemu Bhutan dengan pemenang akan bersaing di final yang dijadualkan pada 30 September juga di stadium yang sama.