KETUA pasukan Malayan Tigress, Steffi Sidhu mahu rakan-rakan sepasukannya menjadikan kejayaan skuad Harimau Malaya dan skuad B-23 tahun kebangsaan sebagai motivasi untuk meneruskan momentum kejayaan apabila bersaing di Kejohanan Women’s International Friendly di Taif, Arab Saudi.
Sebelum ini skuad Harimau Malaya berjaya mencatat keputusan memberangsangkan menentang China dan Syria dalam perlawanan persahabatan antarabangsa manakala skuad B-23 pula berjaya layak secara merit ke Piala Asia AFC B-23.
“Sudah tentu Malayan Tigress juga mahu mendapatkan keputusan yang baik sebab saya rasa kita lihat pasukan senior dan B-23 mereka mendapat keputusan yang cukup baik.
“Jadi sudah pasti kali ini pasukan bola sepak wanita kami juga mahu dapat keputusan baik pada kejohanan kali ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Namun Steffi mahu memastikan mereka mendapat kemenangan pertama terlebih dahulu dengan menewaskan Arab Saudi sebelum fokus kepada aksi kedua menentang Pakistan.
Dia juga gembira melihat semakin ramai pemain wanita Malaysia yang kini bermain di luar negara kerana pendedahan ini sangat penting untuk membantu skuad kebangsaan lebih maju.
“Kita mempunyai misi penting di Arab Saudi iaitu langkah pertama mahu mara ke perlawanan separuh akhir dan apa yang penting adalah untuk menang dalam perlawanan pertama menentang Arab Saudi dan Pakistan.
“Bagus sebenarnya melihat banyak pemain negara bermain di luar negara. Saya harap lebih ramai pemain kita nanti akan bermain di liga luar kerana pentingnya pengalaman dan pendedahan. Bagi saya bermain di liga mana-mana pun kalau dapat banyak minit permainan ia sebenarnya membantu,” jelasnya.
Seperti juga Soleen, Steffi juga berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang sudi hadir ke sesi latihan pasukan sekali gus menaikkan semangat para pemain untuk memberikan aksi terbaik di Arab Saudi.