KETUA jurulatih skuad kebangsaan wanita Soleen Al-Zoubi percaya bahawa skuad kendaliannya mampu untuk muncul juara Piala AFF Wanita 2024 dan tiada alasan untuk Malayan Tigress tidak berjaya untuk mencapai sasaran itu.
Soleen berani meletakkan sasaran itu kerana padanya pasukan kali ini sudah cukup bersedia dengan mengharungi banyak perlawanan persahabatan selain pemain-pemain yang mempunyai minit permainan yang tinggi dari penglibatan mereka di Liga Wanita Nasional (LWN).
“Sasaran kami sudah semestinya untuk menjadi juara kerana percaya kami sudah bersedia dengan pemain-pemain juga sudah mengharungi saingan LWN dan juga yang bermain di SUKMA serta di peringkat antarabangsa, jadi saya percaya kita tiada alasan untuk tidak mencapai sasaran ini,” katanya.
Pengendali asal Lebanon itu turut menjelaskan dia sudah mengenalpasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum beraksi dalam pertandingan itu di Laos.
“Saya percaya pasukan sudah bersedia secara mental, bagaimanapun ketika perlawanan tertutup yang diadakan, saya dapat melihat beberapa kesilapan yang berlaku yang mana kita perlu perbaiki dalam tempoh beberapa hari ini.
“Bagi kami setiap sesi latihan cukup penting kerana jika anda melihat pasukan ini ia adalah pasukan gabungan pemain baru dan juga pemain senior jadi kita perlu buat kombinasi terbaik untuk dapat bersaing di Piala AFF nanti,” jelasnya.
Soleen telah memanggil sebanyak 26 pemain untuk ke kem latihan pusat dengan kehadiran seorang pemain baharu Daliea Eliesa Mohd Hafiz, manakala empat pemain, Nurlyana Soberi, Nurfazira Muhamad Sani, Intan Sarah Anisah Zulgafli dan Lauren Hoh Ruyi dipanggil semula untuk mengukuhkan pasukan.
Untuk Piala AFF Wanita 2024 ini, Malayan Tigress telah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Kemboja dan Indonesia dengan dua pasukan teratas akan mara ke peringkat separuh akhir.
Juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga akan layak ke Kejohanan AFF Wanita 2025 untuk bersama-sama pasukan ranking tertinggi Asia Tenggara, Thailand, Filipina, Vietnam dan Myanmar bagi merebut mahkota kejuaraan.
Skuad negara dijadual akan terbang ke Vientiane, Laos pada Khamis, 21 November 2024 dan akan membuka tirai saingan menentang Indonesia pada 26 November sebelum berdepan Kemboja pada 29 November di Vientiane.