PEMAIN dodgeball negara, Carlos Goonting, menyuarakan keyakinannya bahawa Malaysia mampu membawa pulang emas sekiranya sukan dodgeball dipertandingkan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.

Carlos yang beraksi dalam pasukan Anak Malaya 1 yang menamatkan cabaran di tempat ketiga pada Kejohanan Dodgeball Turo Thunder Throw 2024 turut menekankan bahawa mutu permainan dodgeball di negara ini sudah mencapai taraf dunia.

Pemain kebangsaan dodgeball negara, Carlos Goonting.

Jelasnya, kejayaan Malaysia sebagai juara dunia tiga kali, kali terakhir pada tahun 2022, adalah bukti nyata kekuatan pasukan negara dalam sukan ini.

Tambahan pula, skuad dodgeball lelaki Malaysia kini berada di kedudukan nombor satu dunia dalam kategori foam, yang menunjukkan kekuatan negara di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin tiada masalah untuk kita membawa pulang emas jika dodgeball dipertandingkan di Sukan SEA atau Asia.

“Malaysia berada di tahap yang tinggi, dan saya harap sukan ini dapat dipertandingkan di peringkat tertinggi. Sebagai pemain, saya mahu dodgeball menjadi sukan yang kompetitif di semua peringkat,” ujar Carlos ketika ditemui di Turo Thunder Throw 2024.

Malaysia kini menduduki ranking ke-16 dunia secara keseluruhan, namun lebih menonjol dalam kategori foam yang menjadi kekuatan utama skuad kebangsaan.

Mengulas tentang penganjuran kejohanan yang buat julung kalinya diadakan di dalam pusat membeli-belah, Carlos memuji usaha tersebut sebagai inisiatif yang mampu mengembangkan lagi sukan dodgeball di Malaysia.

Pasukan Anak Malaya yang diwakili Carlos Goonting berjaya meraih tempah ketiga selepas menewaskan Blitz Autistic 5-4 selepas sudden death.

“Kejohanan seperti ini adalah langkah yang bagus untuk memperkenalkan dodgeball kepada lebih ramai orang. Lebih banyak kejohanan seperti ini dianjurkan, lebih banyak pasukan akan terbentuk dan sukan ini akan berkembang dengan lebih pesat,” tambahnya.

Perlawanan akhir Turo Thunder Throw 2024 menyaksikan pasukan Blitz Steroids menewaskan Aces 5-4 dalam pertarungan sengit yang berakhir dengan sudden death.

Kejohanan ini bertujuan untuk mempromosikan dodgeball kepada rakyat Malaysia sambil memberi ruang kepada pemain kebangsaan untuk mempamerkan bakat mereka, sekali gus menjadi inspirasi kepada bakat muda negara.