SYARIKAT penerbangan nombor satu negara, Malaysia Airlines dengan rasminya menjadi rakan strategik kepada sebuah kelab bola sepak terkemuka England, Manchester United untuk jangka masa panjang.

Menurut Datuk Kapten Izham Ismail, Pengarah Urusan kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), kerjasama yang akan mencipta pengalaman manis sejurus tidak akan dapat dilupakan oleh para peminat ini secara tidak langsung memberi penyatuan antara dua ikon global iaitu Malaysia Airlines dan United sendiri.

Beliau turut menjelaskan bahawa perjanjian yang dilakukan akan meningkatkan lagi pengiktirafan jenama Malaysia Airlines terutama di bumi Eropah dan Asia Tenggara, oleh kerana jumlah peminat Manchester United yang ramai.

“MAS menanti peluang yang mengujakan seperti ini, tambahan berita gembira yang akan dibawa kepada peminat bola sepak di seluruh dunia,” ujar beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Alliances and Partnerships Manchester United, Victoria Timpson, turut mengungkapkan bahawa Manchester United telah menjalin hubungan baik dengan Malaysia, dan turut menerima sokongan penuh semangat dari seluruh negara.

“Kami mempunyai tiga kelab penyokong rasmi Malaysia, dengan cawangan di Kuala Lumpur yang mempunyai antara komuniti penyokong terbesar kelab, itu mencerminkan minat negara terhadap United,” katanya.

Beliau menambah bahawa kelab itu sangat mengalu-alukan kehadiran MAS dalam keluarga rakan kongsi mereka dan tidak sabar untuk berkongsi dengan peminat di seluruh dunia mengenai perkhidmatan syarikat penerbangan itu yang dipercayai, mesra dan suka menerima tetamu.

Tambahan itu, Izham menyatakan bahawa perkongsian tersebut berperanan sebagai penggerak penting dalam mencapai aspirasi Perniagaan Jangka Panjang 2.0 MAG, sekali gus membolehkan pihaknya untuk meneroka kerjasama komersial melebihi batas perkongsian syarikat penerbangan konvensional.