BERITA kurang enak didengari oleh penyokong bola sepak kebangsaan apabila Malaysia adalah salah satu daripada tujuh negara yang bertanding di Piala Asia 2023 yang masih belum menjaringkan gol selepas berakhir dua perlawanan peringkat kumpulan.
Selain Malaysia, enam lagi negara yang gagal berbuat demikian adalah China, Tajikistan, Lebanon, Syria, India dan Republik Krygyz dengan peluang semakin tertutup menjelang perlawanan terakhir kumpulan yang bermula Isnin.
Tiga pasukan dari Kumpulan A, Tajikistan, Lebanon dan China masing-masing tidak dapat menjaringkan gol yang turut menyaksikan satu lagi pasukan, Qatar sudah melayakkan diri ke peringkat seterusnya hasil dua kemenangan dan empat jaringan.
Namun, menarik buat China kerana meskipun masih tidak berjaya menjaringkan gol, mereka sudah mempunyai dua mata selepas mencatat dua keputusan seri tanpa jaringan dan kekal antara pasukan yang masih belum dibolosi setakat ini.
Tiga daripada tujuh yang tersenarai hanya Republik Krygyz, Malaysia dan India yang masih tidak mempunyai sebarang mata dan mencatatkan bolos terbanyak dengan Republik Krygyz melepaskan empat gol manakala Harimau Malaya dan India sudah melepaskan lima gol.
Menambah dukacitakan buat semua penyokong, apabila dalam senarai tersebut hanya Malaysia sah tersingkir daripada kejohanan setakat ini manakala pasukan lain masih mampu ke pusingan 16 terbaik sekurang-kurangnya menerusi empat slot tempat ketiga terbaik.
Sementara itu, lima pasukan masih tidak dibolosi sepanjang dua perlawanan kumpulan setakat ini iaitu Qatar, Australia, Uzbekistan, China dan Thailand yang menggambarkan kekentalan barisan pertahanan mereka.
Selepas berakhir dua perlawanan, lima pasukan telah layak secara automatik ke pusingan seterusnya, Qatar, Iran, Iraq, Australia dan Arab Saudi dengan 11 lagi pasukan akan menentukan nasib masing-masing pada perlawanan ketiga yang juga aksi terakhir peringkat kumpulan.