SKUAD B-19 Tahun Kebangsaan akhirnya meraih kemenangan sulung pada aksi terakhir Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa B-19 Thanh Nien 2022 selepas menundukkan Myanmar 2-0 di Stadium Binh Duong, Vietnam.

Kemenangan itu hadir selepas skuad bimbingan Hassan Sazali Waras itu mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Thailand dan tewas 1-2 ditangan Vietnam pada dua aksi awal sebelum ini.

Gol-gol skuad muda kebangsaan ini dijaringkan oleh Nazrin Nasir pada minit kelima dan Ahmad Rozaini Abu Bakar tiga minit sebelum tamat untuk memberikan tiga mata penuh buat Harimau Muda.

 

Meskipun dibarisi majoriti pemain yang berbeza berbanding skuad yang menjuarai Kejuaraan AFF B-19 Tahun di Jakarta, pasukan ini juga menunjukkan kualiti yang bagus dan ianya pasti satu berita yang baik buat pengendali negara.

Sebelum berlepas ke Vietnam, Hassan Sazali menyatakan dia mahu menyaksikan lebih banyak pemain B19 diberikan peluang untuk beraksi bagi memastikan dia dapat memilih barisan terbaik bagi menghadapi kelayakan Piala Asia AFC B-20 Tahun di Mongolia September nanti.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia mengumpul empat mata dan kini perlu menunggu keputusan di antara Vietnam dan Thailand yang berlangsung lewat untuk menentukan sama ada mereka akan layak ke final atau beraksi di penentuan ke-3/4.