SKUAD Bawah 19 Tahun Kebangsaan berjaya mencatat kemenangan dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejuaraan B-19 AFF 2022 selepas menewaskan Kemboja 2-1 dalam aksi di Stadium Madya Senayan.
Keputusan ini menepati sasaran Ketua Jurulatih, Hassan Sazali Waras yang mahukan kemenangan dalam aksi pertama kerana ianya akan menjadi moral booster untuk menghadapi kejohanan ini.
Dua jaringan pada babak pertama oleh Najmuddin Akmal dan Hairi Haqeemi cukup untuk memberikan tiga mata penuh dan kini tumpuan sudah boleh diarahkan kepada pertemuan kedua menentang Singapura pada Khamis.
Hassan dalam sidang media selepas perlawanan berkata dia gembira dengan kemenangan ini serta memuji corak permainan yang ditunjukkan oleh para pemainnya untuk meraih tiga mata yang penting.
“Alhamdulillah apa yang kita sasarkan berhasil iaitu mengutip tiga mata. Untuk perlawanan pertama ini, para pemain menunjukkan persefahaman yang cukup jitu dan mereka telah bermain dengan satu komitmen yang besar.
“Kemenangan ini pastinya akan memberikan suntikan moral yang baik untuk menghadapi perlawanan akan datang.
“Saya akan melakukan penggiliran pemain dengan beberapa pemain yang mengalami kecederaan diharap dapat pulih dengan segera,” katanya.
Dengan kemenangan ini Malaysia kini di tangga kedua dengan tiga mata dibelakang Laos yang dibezakan perbezaan jaringan.