AKSI persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil berkesudahan 2-0 memihak pasukan kebangsaan malam ini.

Babak pertama menyaksikan Malaysia berada di hadapan apabila Safawi Rasid berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-30 meletakkan skuad negara mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus memperkemas jentera serangan dengan larian pantas Akhyar Rashid pada minit ke-52 yang berjaya menggelecek penjaga gol Hong Kong namun penyudah sedikit tersasar.

Dua pertukaran pada minit ke-60 dan 62 dilakukan Kim Pan-gon dengan memasukkan Guilherme de Paula yang menggantikan Darren Lok sambil Safiq Rahim menggantikan Safawi Rasid bagi memperkuat jentera serangan pasukan kebangsaan.

Minit ke-75 menyaksikan Arif Aiman mengalami kekejangan otot dan digantikan dengan Faisal Halim bagi mengisi kekosongan sayap kanan pasukan negara.

Safiq Rahim menggandakan kelebihan tuan rumah apabila bijak mengelirukan penjaga gol Hong Kong dengan sepakan percuma pada minit ke-90.

Kemenangan itu juga bakal melonjakkan ranking Harimau Malaya pada tahap lebih baik selepas ini yang kini berada pada kedudukan 154 dunia.

Ujian sebenar negara bermula pada kempen Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia bertemu Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) di mana kesemuanya akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.