KEMUNGKINAN Malaysia diwakili kontinjen kecil ke Sukan Olimpik Paris 2024, tidak disangkal Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, terutamanya selepas skuad hoki terlepas peluang ke temasya terbabit.
Malah, kegagalan tiga penerjun, Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng, menguatkan kemungkinan itu, ketika beberapa sukan lain seperti berbasikal, angkat berat, renang, golf dan olahraga masih dalam proses kelayakan.
“Saya percaya atlet kita sudah melakukan yang terbaik dan kalau ada yang tak layak, mereka kena menerimanya. Kita akan buat penambahbaikan dan itu sebab Road To Gold sudah mengenalpasti LA2028 (Los Angeles 2028). Kita juga sudah meletakkan atlet yang kita rasa ada peluang ke LA2028 ke dalam program Fast Track pada ketika ini.
“Masih ada yang dalam proses kelayakan dan diharap mereka berjaya. Apabila hoki tak layak, kita tahu yang kontinjen akan menjadi kecil,” kata Hannah dalam Majlis sidang media kerjasama antara KBS dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), hari ini.
Ketika ini, hanya lima atlet mengesahkan tempat ke Paris 2024 iaitu atlet terjun, Bertrand Rhodict Lises; Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran); Johnathan Wong (menembak); Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuhraya).
Sebelum ini, Ketua Kontinjen negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjangkakan sekurang-kurangnya 29 atlet negara akan melayakkan diri ke Paris dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
Hamidin dilaporkan berkata, jumlah atlet itu boleh dicapai dengan beberapa jenis sukan seperti renang, angkat berat, badminton, golf, gimnastik artistik, memanah, olahraga, ping pong dan taekwando masih dalam proses kelayakan.
Untuk rekod, Malaysia dibarisi 30 atlet di Olimpik Tokyo 2020, 32 di Rio (2016), 29 di London (2012), 32 di Beijing (2008), 26 di Athens (2004), 40 di Sydney (2000), 35 di Atlanta (1996) dan 26 di Barcelona (1992).
Penyertaan kontinjen Malaysia paling rendah adalah pada 1988 di Olimpik Seoul dengan hanya sembilan atlet bertanding manakala paling ramai adalah di Olimpik Tokyo 1964 dengan 62 atlet.