KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon melaungkan keyakinan tidak gentar berhadapan Jordan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada awal pagi Selasa.

Sebaliknya, lelaki warga Korea Selatan itu menegaskan pasukan Malaysia sudah bersedia menghadirkan cabaran kepada pasukan Asia Barat tersebut.

“Kami bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok menentang Jordan dalam kejohanan ini.

“Kami mahu mengharungi kejohanan ini dengan menunjukkan apa yang mampu. Malaysia adalah sebuah negara yang indah dengan orang yang bagus dan baik hati. Tetapi kami mahu menunjukkan betapa kuatnya bola sepak Malaysia yang tegas, kuat, dinamik dan tangkas

“Malah, kami bermain dengan tahap yang sama Jordan beberapa bulan lepas. Esok kami berharap menjadi hari sejarah baru,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Doha, Qatar pada Ahad.

Mengulas lanjut, dua pemain negara mengalami kecederaan dan cabaran itu dipikul oleh 24 pemain lagi dalam misi mengutip tiga mata pertama di Stadium Al Janoub.

Jordan pernah menewaskan Malaysia 1-0 pada 2019 dan 4-0 dua tahun kemudian tetapi Davies percaya mereka sudah bersedia untuk mengekang asakan pasukan lawan.

“Kami mahu layak (secara automatik) ke Pusingan 16 dengan sekurang-kurangnya menduduki tempat kedua dalam kumpulan. Sudah lama kami tidak layak secara merit, kami sangat berbangga dengan fakta itu,” kata Davies, yang bermain untuk pasukan Liga Super Malaysia Johor Darul Ta’zim.

“Kami sangat berbangga antara satu sama lain tetapi pada masa yang sama kami tidak mahu bersikap defensif, kami mahu bermain bola sepak kami dan bersaing dengan pasukan yang jauh lebih tinggi daripada kami.

“Kredit kepada jurulatih dan staf kerana melindungi pasukan daripada terlalu gementar dan harapan dari luar. Kami benar-benar fokus dan melakukan perkara kami sendiri. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah keluar dan bermain bola sepak kami.

Malaysia memenangi hanya satu daripada sembilan perlawanan Piala Asia (seri tiga, kalah lima), tewas setiap satu daripada tiga perlawanan terakhir dalam pertandingan itu.

Kempen edisi kali ini adalah penampilan pertama Malaysia dalam kejohanan itu sejak 2007.