MALAYSIA memperolehi satu lagi kemenangan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa apabila sekaligus menjadi tonik terbaik buat Harimau Malaya menjelang Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Tiga jaringan daripada Darren Lok, Faisal Halim dan Lee Tuck cukup untuk memberikan pasukan bimbingan Kim Pan-gon ini kemenangan 3-0 ke atas Maldives dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Pon-gon melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama ketika menentang Kemboja namun mengekalkan benteng berempat tetapi kali ini dibantu seorang lagi pertahanan, Dominic Tan.
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 2022
Keputusan Masa Penuh
Malaysia 3-0 Maldives
⚽ Darren Lok 24', Faisal Halim 64', Lee Tuck 88'#HarimauMalaya pic.twitter.com/P3c1XJJUlt
— Flash Sukan (@FlashSukan) December 14, 2022
Malaysia ternyata mendominasi perlawanan dan Darren berjaya menjaringkan gol selepas mengambil kesempatan atas kesilapan pemain pertahanan lawan untuk gol ketiganya buat Harimau Malaya.
Maldives yang turun dengan sasaran hanya mahu mendapatkan minit permainan buat para pemainnya sekali sekala dilihat cuba mengancam kubu Malaysia yang kali ini dikawal Syihan Hazmi.
Pan-gon pantas melakukan pertukaran untuk meningkatkan lagi intensiti permainan dengan membawa masuk Lee Tuck menggantikan Safawi Rasid pada permulaan babak kedua.
Hasilnya Malaysia berjaya menambah gol kedua menerusi kapten, Faisal Halim yang bijak melorongkan bola melepasi penjaga gol Maldives yang menggembirakan 6,002 penyokong yang hadir.
Ini adalah gol keempat buatnya sepanjang menyarung jersi Harimau Malaya dan yang kedua dalam tempoh lima hari selepas turut menjaringkan dua gol ketika bertemu Kemboja pada Jumaat.
Ketika permainan berbaki dua minit, Lee Tuck menambah keceriaan kem kebangsaan dengan gol ketiga perlawanan dan juga gol kedua peribadinya sejak dinaturalisasikan selepas menerima hantaran Sergio Aguero.
Kemenangan ini pastinya menambah keyakinan buat skuad kebangsaan sebelum berlepas ke Myanmar bagi memulakan cabaran dalam kejohanan dwi tahunan Asia Tenggara itu.