KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mahu penganjur bertanggungjawab berhubung insiden kematian pelumba drag profesional, Hattem Rashdi, yang menghembus nafas selepas lebih 12 jam bertarung nyawa akibat kemalangan.
Ketua Setiausaha (KSU) KBS Dr K Nagulendran menggesa, penganjur Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023, bertanggungjawab kerana perlumbaan itu tidak mendapat kelulusan daripada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).
“Perlumbanaan itu tidak mendapat kelulusan MAM, kami (KBS) sudah membuat semakan. Selepas ini pihak kami akan adakan perbincangan dan melakukan tindakan susulan dengan MAM. MAM sendiri juga perlu melakukan tindakan susulan dengan penganjur berhubung insiden berkenaan,” kata Nagulendran pada sidang media Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di Menara KBS.
Beliau berkata, KBS menggalakkan penganjuran sukan secara selamat dan bukan sahaja fizikal tetapi juga mental melalui Kod Sukan Selamat berkaitan perlakukan buli dan gangguan seksual.
“Mereka juga perlu mendaftar dan mendapat kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan. Kami kesal insiden ini berlaku, penganjur harus bertanggungjawab, saya tidak rasa ia sesuatu yang betul mengadakan perlumbaan tanpa kelulusan dan langkah-langkah keselamatan,” katanya.
Mangsa, berusia 22 tahun terbabit kemalangan pada hari pertama perlumbaan pada 1 pagi Ahad lalu di Pekan, Pahang, selepas motosikal ditunggang, terbabas.
Hattem yang mewakili pasukan berpangkalan di Perlis, ESR Motor dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat.
ARTIKEL BERKAITAN : Pelumba drag Hattem Rashdi maut kemalangan di Litar Speedway
Menurut Pemilik ESR Motor, Adib Affandi Mohamad memaklumkan Hattem disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang Isnin dan jenazahnya akan dibawa ke kampung halaman di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.
Mengikut rekod, kematian membabitkan pelumba drag bukannya kali pertama kerana pada Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu, Oktober tahun lalu menyaksikan seorang pesertanya maut ketika perlumbaan.
Selang dua bulan kemudian, seorang pengusaha bengkel kenderaan pula maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.